617,000 rakyat Perak menerima BR1M 2.0 dan 32,000 Dalam Proses Rayuan!

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata surat kelulusan bagi pemohon yang membuat rayuan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 dijangka dapat diselesaikan pada minggu pertama April nanti.

Beliau berkata, di negeri Perak sahaja, 32,000 pemohon mengemukakan rayuan BR1M 2.0 untuk dipertimbangkan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Tambahnya lagi, BR1M 2.0 mencatatkan jumlah tertinggi dengan 6.1 juta penerima, 4.3 juta daripadanya adalah penerima dalam katogeri isi rumah dan bakinya bujang.
“Sejumlah 617,000 rakyat Perak menerima BR1M 2.0 dan 32,000 lagi mengemukakan rayuan kepada LHDN untuk kelulusan.
“Kita sedang memproses semua borang rayuan ini saya percaya kita dapat selesaikan surat kelulusan ini pada minggu pertama April,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke LHDN Jalan Tambun, dekat Ipoh, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Husni yang juga merupakan Ahli Parlimen Tambun berkata, kementerian itu yakin dengan kemampuan LHDN dalam mencapai sasaran mengutip hasil berjumlah RM130 bilion tahun ini.
Peranan agensi itu katanya, amat penting dalam menjana hasil negara yang meningkat saban tahun menerusi kutipan cukai.
“Pada tahun 2011, hasil yang dikutip LHDN ialah RM109 bilion dan seterusnya meningkat kepada RM124.8 bilion pada 2012.
“Oleh itu, saya berharap sasaran kutipan hasil berjumlah RM130 bilion pada tahun ini mampu dicapai,” katanya lagi.
Ahmad Husni berkata, ia mungkin dapat dicapai hasil beberapa pendekatan kreatif yang diperkenalkan LDHN termasuklah e filing dan mengambil alih urusan pertukaran hak milik tanah yang sebelum ini dibuat oleh Pejabat Tanah dan Daerah sendiri.
“Apabila LHDN mengambil alih urusan ini, maka hasil yang diperolehi adalah tinggi,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Pengarah LHDN Perak, Wan Azni Wan Hassan dalam ucapannya, berkata komponen syarikat menjadi penyumbang terbesar kutipan LHDN pada 2012 dengan 51.09 peratus dan bakinya adalah komponen individu.
Katanya lagi, untuk 2013 pula, LHDN Perak diamanahkan Kementerian Kewangan untuk mengutip hasil sebanyak RM2.6 bilion.
“Dengan adanya bilangan pembayar cukai aktif seramai 532,187 di Perak di samping pertambahan pembayar cukai baru, kami yakin akan mencapai sasaran yang ditetapkan,” kata Wan Azni lagi.- Peraktoday
للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*