Adab Dalam Mengeluarkan Fatwa

Definisi Fatwa

Fatwa dari segi bahasa membawa maksud menjawab atau menjelaskan sesuatu masalah. Dari segi syarak membawa maksud menjelaskan hukum-hukum syarak dengan berpandukan kepada al-Kitab, as-Sunnah, ijmak dan juga qiyas. 
Dalam al-Qamus al-Fiqhi, fatwa bermaksud menjawab permasalahan-permasalahan syarak atau perundangan yang menimbulkan masalah dalam menyelesaikannya kepada seseorang. Dalam Mu’jam Lughah al-Fuqaha’ pula, fatwa bermaksud hukum syarak yang dijelaskan oleh seseorang yang alim dalam pengetahuan fiqh, sebagai jawapan kepada orang yang bertanya tentang perkara tersebut. 
Orang yang bertanggungjawab dalam mengeluarkan fatwa dinamakan sebagai mufti. Tugasnya mengeluarkan fatwa dan dinamakan sebagai ifta’. Jawapan yang dikemukakan oleh mufti dinamakan sebagai fatwa. Pihak yang bertanya mufti tentang satu-satu masalah yang dihadapinya, dinamakan sebagai mustafti. 
Pendek kata yang dikatakan fatwa ialah mengeluarkan hukum syarak yang dilakukan oleh seseorang alim atau faqih berhubung dengan sesuatu isu yang berlaku dalam masyarakat yang tidak terdapat nas yang jelas di dalam al-Kitab, as-Sunnah, ijmak mahu pun qiyas, dengan menggunakan keempat-empat sumber muktabar tersebut. 
Adab-adab Dalam Mengeluarkan Fatwa
Mufti merupakan orang yang menggantikan tempat Nabi s.a.w dalam menyelesaikan masalah yang berlaku dalam masyarakat. Fatwa yang dikeluarkan menggambarkan hukum Allah yang berkaitan dengan realiti yang berlaku. Kerana itu mufti hendaklah seorang yang dipercayai, amanah dan bersih daripada sebab-sebab yang boleh menjerumuskannya kepada kefasikan, kejatuhan maruah dan lain-lain. Di samping itu perlu juga meraikan adab-adab dalam mengeluarkan fatwa iaitu:
  • Menunjukkan sifat warak dan pegangan agama yang kuat
  • Memakai pakaian yang elok dan sesuai, kerana menimbulkan kehebatan pada pandangan orang ramai sambil berpegang teguh dengan hukum-hukum syarak
  • Membaiki keadaan diri dengan sentiasa beriltizam dengan adab-adab syarak dalam kerja-kerja yang dilakukan dan tuturkata yang dikeluarkan, kerana mufti merupakan orang yang menjadi ikutan yang baik kepada masyarakat
  • Membaiki batin dengan sentiasa memohon kepada Allah agar membetulkan keputusan yang dikeluarkan dan mengilhamkan kebenaran malah sentiasa mengikhlaskan niat dalam menjelaskan hukum syarak dan menepati janji dengan Allah s.w.t
  • Mengamalkan segala kebaikan yang difatwakan dan menjauhi segala perkara yang haram dan makhruh yang ditegah, agar wujud keselarasan di antara kata-kata dengan tindakan
  • Mengeluarkan fatwa dalam situasi yang tenang dan stabil dan tidak dalam keadaan perubahan emosi dan hati kerana boleh menghalang seseorang mufti dari mengambil sikap berhati-hati dan teliti
  • Mengadakan mesyuarat dan perbincangan dengan orang yang dipercayai keilmuan dan agamanya
  • Mengelakkan dari membongkar rahsia orang-orang yang meminta fatwa
  • Menjauhi dari mengeluarkan fatwa yang berat sebelah
  • Menjaga susunan dan meraikan keadilan dalam kalangan orang-orang yang meminta fatwa
  • Membaca soalan dengan teliti, cermat dan berulang kali agar maksud soalan tersebut difahami betul-betul kemudian baru menjawab
Akhlak Dalam Mengeluarkan Fatwa
  • Fatwa tidak hanya tertumpu kepada mengeluarkan dan menjelaskan hukum hakam sahaja dan kontang daripada akhlak dan tingkah laku yang baik. Antara akhlak yang perlu diiltizami oleh mufti dalam mengeluarkan fatwa ialah:
  • Tidak membuatkan orang ramai berputus asa daripada rahmat Allah s.w.t
  • Tidak membuka ruang dan memberi kelonggaran kepada orang ramai melakukan maksiat
  • Tidak menghina orang yang lebih bawah dan tidak pula mengampu orang yang lebih atas daripadanya
  • Memberitahu kepada orang yang bertanya, tentang orang alim yang lebih tahu berbanding dengan dirinya sendiri dalam selok-belok fatwa dan perkara itu tidak menimbulkan rasa kurang senang dalam hatinya
  • Tidak segan untuk menarik balik fatwa yang telah dikeluarkan, jika terbukti fatwa tersebut adalah salah
  • Mengeluarkan fatwa berdasarkan kebenaran yang diketahui dan tidak tunduk kepada hawa nafsu sahaja
  • Sentiasa bergantung kepada Allah, merendah diri dan mengikhlaskan niat
  • Memperbanyakkan berdoa kepada Allah s.w.t agar menunjukkan jawapan yang betul dan menjauhi kegelinciran pada pemikiran, lisan dan pena
Begitulah serba sedikit pengenalan mengenai fatwa dan mufti yang mana ramai dikalangan kita tidak ambil tahu. Diringkaskan daripada buku Metod Fatwa al-Qardawi Dalam Menangani Isu-isu Semasa tulisan Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim al-Hassani al-Azhari terbitan al-Hidayah Publication. – Terima Kasih [QRIUZ]
للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*