AMANAT HADI: sanggup mengebumikan jenazah isterinya di pinggir rumah

“Apabila arwah isteri, Azizah Abdullah meninggal pada 1990, saya memutuskan menggali kubur tidak sampai tiga meter dari rumah. Tiada siapa yang syor dan tegah. Saya cukup yakin mereka yang tidak bersama Pas tidak boleh bercampur termasuk tanah kubur. – MI

MARANG: Gara-gara tidak mahu berkongsi tanah perkuburan dengan penyokong UMNO kerana berpegang dengan Amanat Haji Hadi, Mokhtar Ismail, 58, sanggup mengebumikan jenazah isterinya di pinggir rumah di Banggol Katong, Serada dekat sini.
Walaupun anggota keluarga dan sebilangan saudara-maranya menganggap tindakan itu keterlaluan, dia tidak mengendahkan mereka dan cukup yakin langkahnya betul.
“Apabila arwah isteri, Azizah Abdullah meninggal pada 1990, saya memutuskan menggali kubur tidak sampai tiga meter dari rumah. Tiada siapa yang syor dan tegah. Saya cukup yakin mereka yang tidak bersama Pas tidak boleh bercampur termasuk tanah kubur.
“Sedangkan tanah perkuburan tidak sampai suku kilometer dari rumah. Semasa hidupnya juga arwah terkongkong kerana saya tidak benarkan dia bergaul dengan penyokong UMNO yang kebanyakannya anggota keluarga terdekat saya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika turut menyingkap perlakuan silam yang sangat dikesalinya sebagai reaksi terhadap pendedahan bekas penyokong tegar Pas, Zainon Ismail lebih dikenali dengan nama C.N. Al-Afghani berhubung beratus ribu penyokong Pas masih berpegang dengan amanat yang memesongkan itu.
Menurutnya, hubungan dengan arwah ibunya dan tujuh adik-beradik yang lain juga tidak begitu mesra kerana mereka tidak menyertai Pas.
“Ketika ibu meninggal dunia, saya sekadar menziarah dan tidak menginjak kaki ke masjid untuk bersama menunaikan solat jenazah. Saya rasa ketika itu pegangan terhadap amanat tersebut lebih besar daripada tanggungjawab terhadap emak sendiri.
“Saya sendiri tidak dapat mengagak berapa banyak anak tangga di masjid itu kerana saya tidak pernah pijak. Saya tak kenal masjid selain Masjid Rusila (Masjid Haji Hadi) dan dua lagi masjid tokoh Pas iaitu Masjid Kubang Lembek (Masjid Datuk Harun Taib) dan Masjid Batu Enam (Masjid Haji Awang Jidin),” katanya.
Menurut peniaga itu yang menyertai Pas pada usia 18 tahun ketika berada di Mersing, Johor, apabila kembali ke Terengganu, dia banyak menghabiskan masa membaca kitab di Masjid Rusila dan turut mendengar ceramah-ceramah Pas yang turut dianggapnya sebagai kuliah agama terbuka.
“Apabila Amanat Haji Hadi mula kedengaran pada 1981, pegangan bahawa kami berada di landasan benar dalam memperjuangkan Islam dan tidak perlu mempedulikan orang lain yang tidak bersama, semakin kukuh,” ujarnya.
Malah untuk mengelak daripada terus menunaikan solat berjemaah di masjid katanya, dia bersama-sama penyokong parti berusaha membina sebuah surau berhampiran melalui gotong-royong dengan hasil pungutan derma.
“Rasanya saya dan beberapa orang kawanlah yang mula memberanikan diri mengutip derma daripada orang ramai di Masjid Rusila untuk perjuangan Pas,” ujarnya.
Namun katanya, apabila Pas menang di Terengganu pada 1999 dan surat arahan daripada kerajaan negeri supaya mereka kembali ke masjid yang sekian lama dipulau, cukup mengejut dan membingungkan apabila hukum-hakam yang digunapakai tiba-tiba berubah.
“Dulunya masjid itu dianggap cemar dan berimamkan orang UMNO tidak sah. Jika itu boleh berubah, tentunya daging binatang sembelihan mereka juga sudah boleh dimakan dan upacara pernikahan juga sah dilakukan.
“Saya keluar Pas pada 2001 setelah melihat banyak perkara tidak disenangi termasuk tindakan parti itu mengambil alih tadika Kemas dengan kanak-kanak terusir. Saya tidak nampak cara Islam dan lihat semua ini sekadar kepentingan politik,” ujarnya.
– Utusan Malaysia

للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*