Amuk!!!!Tertembak Kerana Enggan Serah Diri

Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, seorang anggota polis bertindak melepaskan tiga das tembakan ke arah dua individu dalam kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM), tahun lalu selepas mereka enggan meletakkan senjata yang dipegang serta menyerah diri.

Koperal Ridzuan Megat Ahmad, 32, memberitahu, dia melepaskan dua das tembakan ke arah Khalil Afandi Abdul Hamid, 47, serta satu das lagi ke arah tertuduh, Muhdalena Ahmad , 28, selepas empat amaran dikeluarkan.
Anggota Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya itu menceritakan, dia bersama seorang lagi anggota bergegas ke JPM sebaik sahaja menerima panggilan berhubung satu kejadian amuk.
Saksi menyatakan, setibanya di situ, kedua-duanya yang ketika itu bersenjatakan parang panjang dilihat mara ke arah mereka dalam jarak kira-kira 15 meter menyebabkan dia mengeluarkan arahan agar mereka meletak senjata dan menyerah diri.
Ujarnya, Khalil Afandi bagaimanapun enggan mematuhi arahan dan sebaliknya menggertak polis supaya jangan mencampuri urusan kedatangannya ke situ sambil mengugut untuk memancung kepala mereka dengan parang panjang.
Menurut Ridzuan, kedua-duanya semakin menghampiri polis menyebabkan dia mengeluarkan tiga lagi amaran sebelum melepaskan tembakan ke arah bahagian bawah tubuh mereka.
Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh, saksi pendakwaan itu menyatakan, dia terpaksa melepaskan tembakan kerana jaraknya dengan kedua-dua individu tersebut terlalu dekat iaitu kira-kira tiga meter sahaja.
“Saya terpaksa mengambil tindakan kerana saya diserang dan tiada ruang untuk menyelamatkan diri manakala kedudukan mereka yang ketika itu bersenjata terlalu hampir,” ujarnya pada sesi pemeriksaan utama.
Ridzuan menyatakan, kedua-duanya yang tercedera kemudian bergerak ke kaki lima jalan dan duduk di situ sambil meletakkan senjata. Lelaki itu selanjutnya menyatakan: ‘Saya menyerah.’
Dalam kejadian itu, Khalil Afandi yang mengaku dirinya ‘Imam Mahadi’ terbunuh selepas terkena tembakan di bahagian ari-ari dan tangan kiri manakala Muhdalena cedera pada paha kanannya.
Ridzuan turut disoal balas oleh peguam M. Visvanathan yang mewakili Muhdalena, mengapa dia tidak melepaskan tembakan amaran ke udara bagi menghentikan kedua-duanya daripada terus mara ke arah polis.
Anggota polis berkenaan menyatakan, dia tidak dapat berbuat demikian kerana kejadian berlaku di kaki lima bangunan berbumbung.
Saksi juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa perbuatannya melepaskan tembakan adalah melampau kerana tindakan yang sepatutnya diambil ialah menangkap mereka, bukannya menembak kedua-duanya.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Muhdalena yang didakwa melakukan ugutan jenayah untuk mendatangkan cedera parah terhadap Ridzuan dan tuduhan membawa sebilah pedang yang dikelaskan sebagai senjata berjadual.
Muhdalena turut didakwa atas tuduhan lain iaitu tidak mematuhi perintah anggota polis yang sama agar meletakkan senjata di kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan.
Dia turut didakwa tidak mematuhi perintah Menteri dengan berada di tempat kejadian yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan tanpa memiliki pas atau permit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai tahun lalu di Kompleks B, JPM, Presint 1 di sini.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd. Kamil Nizam bersambung pada 12 dan 13 Jun depan.- Sumber

للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*