Anwar Pelakon Terbaik – Nadzmi Rosli

Bekas Setiausaha PKR Selangor Mohd Nadzmi Rosli berkata Anwar Ibrahim bukanlah calon sebenar yang akan dilantik menjadi Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 13.

Jelas beliau ini kerana jawatan Anwar sebagai Ketua Pembangkang sebenarnya tidak wujud dalam perlembagaan PKR.

“Sebagai bekas Setiausaha PKR Selangor, ingin saya maklumkan sebenarnya jawatan Anwar tidak wujud dalam perlembagaan. Dia sebenarnya ibarat pendatang haram dalam pakatan pembangkang.

“Jadi apa kelayakan dia untuk dilantik sebagai Perdana Menteri… DAP dan Pas sebenarnya juga tidak akan mahu melantik seorang yang moralnya meragukan sebagai Perdana Menteri, sebab itu sehingga kini mereka tidak mampu untuk mengumumkan siapakah yang paling layak menjawat jawatan tersebut sekiranya mereka berjaya dalam PRU-13,” jelasnya kepada UMNO-Online.

Tambah beliau, dalam erti kata sebenar, DAP hanya ‘memperkudakan’ Anwar untuk mencapai keinginan mereka menjelang PRU-13 tetapi Anwar pula merasakan bahawa dia berjaya memperalatkan DAP untuk mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri.

“DAP sedar, Anwar adalah orang paling layak dipergunakan untuk menyemai perasaan bencikan kerajaan di hati rakyat. Kenapa saya berkata demikian? Kerana dahulu Karpal Singh adalah orang pertama yang meminta agar Anwar disiasat berkenaan kes liwat.


“Kemudian timbul pula pelbagai kontroversi berkenaan Anwar. Dari satu kes ke satu kes. DAP mula melihat ini adalah peluang keemasan mereka untuk mempergunakan Anwar bagi mendapatkan kepercayaan rakyat. Sebab itu Karpal bepaling tadah dan sanggup menjadi peguam bela Anwar.

“Pas pula tidak akan mahu melantik seorang yang moralnya meragukan untuk menjadi pemimpin. Mereka lebih mahukan Hadi Awang yang dilihat lebih mempunyai kredibliti untuk memimpin. Dalam pada masa yang sama DAP sudah tentu mempunyai ‘pemain simpanan’ untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Jadi, sebenarnya siapakah yang akan mereka lantik? Apa yang pasti adalah bukan Anwar Ibrahim,” jelasnya lagi.

Menurut Nadzmi, Pas dan DAP sebenarnya sudah dapat menilai dan melihat Anwar adalah punca ‘penyakit’ sebenar yang menyebarkan wabak perpecahan di dalam parti pakatan pembangkang.

“Tetapi dek kerana PRU-13 sudah semakin hampir, mereka harus mempergunakan Anwar sebaik mungkin. Mereka terus membiarkan Anwar berangan untuk menjadi Perdana Menteri sedangkan hakikat sebenarnya nama Anwar tidak ada dalam senarai pakatan pembangkang.

“Sebab itu mereka tidak berani untuk umumkan siapakah Perdana Menteri. Hanya selepas sekiranya mereka menang dalam PRU-13, barulah akan diumumkan siapakah yang akan dilantik. Ketika itu, Anwar sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi,” ujarnya lagi.






للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*