Awas Janji Pembangkang – Shahrizat

Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta rakyat Sarawak berhati-hati terhadap parti pembangkang yang membuat pelbagai janji menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dengan niat untuk memecahbelah kestabilan dan perpaduan sedia ada.

Menyifatkan Sarawak sebagai “anak gadis” yang hendak dipinang oleh pihak pembangkang, beliau berkata mereka membawa politik yang amat berbahaya, berasaskan ciri-ciri yang boleh mengakibatkan kehancuran perpaduan yang terjalin di antara pelbagai kaum.
“Di Barisan Nasional (BN), kita membawa kepada penyatuan perpaduan di antara kaum dan agama berbeza…unsur-unsur pembangkang mempermainkan isu agama dan bangsa,” katanya selepas merasmikan program Gagasan Aspirasi Wanita di sini hari ini.
Shahrizat turut mencabar semua wakil rakyat pembangkang untuk tidak bertanding di kawasan baharu kerana dikatakan tidak berani bertanding di kawasan sedia ada pada PRU-13 berikutan prestasi perkhidmatan yang lembap.
“Banyak kawasan di mana pengundi telah memberi undi kepada pembangkang pada PRU 2008 mengatakan mereka menyesal sebab tidak ada pembelaan atau perkhidmatan dinikmati kerana hanya menjaja idealisme tetapi tidak menjadi kenyataan,” katanya sambil menambah beliau telah dimaklumkan ramai wakil rakyat pembangkang akan ‘melompat’ kawasan pada PRU-13.
Mengulas pengumuman Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga pengerusi BN negeri semalam bahawa calon wanita akan ditambah pada PRU-13, Shahrizat yang juga pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Kebangsaan yakin keputusan itu disebabkan prestasi baik wakil rakyat wanita dalam member perkhidmatan.
Beliau berkata wanita akan menjadi kuasa penentu parti mana akan menang nanti kerana golongan hawa merupakan 50 peratus daripada pengundi berdaftar di seluruh negara.
Shahrizat yang gembira dengan kehadiran 1,500 wanita termasuk pemimpin pertubuhan bukan kerajaan di Sarawak pada majlis tersebut, berkata ia adalah satu petanda yang menunjukkan wanita akan menjadi kuasa penentu pada PRU-13 kerana golongan itu boleh menpengaruhi anggota keluarga mereka.
Katanya aspirasi wanita yang dikumpulkan pada program peringkat akar umbi itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada perhimpunan satu juta wanita yang akan diadakan tidak lama lagi.
Kini sebanyak 534,516 atau 49.97 peratus daripada sejumlah 1,069,654 pengundi berdaftar di Sarawak adalah wanita.
للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*