Dijamin Lebih Maju Dibawah Barisan Nasional

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Selangor akan lebih maju jika berada di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) kerana banyak masalah di negeri itu mampu diselesaikan.

Perdana Menteri berkata dengan kemajuan dicapai oleh Selangor, Malaysia akan lebih berjaya. Untuk itu, Najib yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Selangor berkata kerajaan BN tidak boleh membiarkan Selangor diperintah parti lain kerana negeri itu penting bagi masa depan negara.
“Selangor terlalu penting bagi masa depan negara…kita tidak boleh membiarkan Selangor diperintah oleh parti lain dan kerajaan pusat oleh parti lain.
“Banyak masalah yang berlaku (sekarang) sebab tidak datang dari parti yang sama,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Chap Goh Meh anjuran BN Selangor di Sekolah Kebangsaan Pandan Indah di sini hari ini.
Justeru Najib menyeru rakyat Selangor untuk menyelesaikan segala ‘kemelut’ dan mengembalikan keyakinan serta mandat mereka kepada BN untuk menubuhkan kerajaan baharu di negeri itu.
“Jika (rakyat Selangor) beri mandat kepada BN di selangor, kita boleh tubuhkan sebuah kerajaan baharu, dan pertahan BN di peringkat pusat dengan mandat yang lebih kuat.
“Saya percaya Selangor akan lebih maju dan negara akan lebih berjaya. Jika kerajaan mempunyai lebih banyak kuasa, maka banyak masalah boleh diselesaikan,” katanya.
Sebagai contoh, katanya, memorandum yang diterimanya untuk penubuhan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, di bawah Parlimen Pandan, mungkin dapat diselesaikan sekiranya kuasa diberi kepada BN.
“Tanah adalah di bawah kuasa kerajaan negeri, tetapi sekiranya kita dapat kuasa (di Selangor), banyak masalah dapat diselesaikan…jadi faham-faham sahajalah…,” katanya yang disambut sorakan para hadirin.
Walaupun hujan lebat, kira-kira 10,000 warga Selangor, khususnya masyarakat di kawasan Parlimen Pandan, hadir memeriahkan acara dengan ketibaan Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dirai penuh meriah dengan sorakan dan lambaian para pengunjung yang tidak berganjak walaupun basah kuyup.
Najib berkata majlis itu merupakan acara kelima yang dihadirinya hari ini, dan keletihan yang dirasainya ‘terubat’ apabila melihat kehadiran ribuan masyarakat.
Katanya hasil perpaduan dan penerimaan masyarakat di negara ini, masyarakat Cina juga dilihat sudah menerima amalan kaum Melayu yang merayakan hari raya selama sebulan selain saling berkongsi kemeriahannya dengan kaum lain.
“Ini menunjukkan bahawa konsep ‘kongsi’ ini sudah menjadi, masyarakat dapat menerima unsur-unsur daripada budaya kaum lain untuk dijadikan sebagai amalan kita.
“Inilah yang menjadikan Malaysia sebagai negara teristimewa dan sangat unik…kepelbagaian dari segi agama, kaum dan budaya tidak menjadi penghalang kepada kejayaan yang dapat kita lihat selama ini,” katanya.
Mengenai promo televisyen yang menunjukkan beliau memalu gendang Cina bersama persembahan tarian naga sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Najib berkata ia memperlihatkan bahawa beliau sebagai Perdana Menteri tetap menghormati budaya kaum Cina.
Untuk itu, beliau juga mahu masyarakat Cina menghormati budaya semua kaum lain di negara ini.
“Bila ada sikap sedemikian Malaysia akan sentiasa aman dan stabil,” katanya yang berharap kedatangan Tahun Ular akan membawa rahmat kepada seluruh rakyat.
للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*