Gabungan Parti Sarawak (GPS) Sokong Muhyiddin Sebagai Perdana Menteri

Kenyataan Media :

Setinggi-tinggi tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, di atas perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri kelapan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menjunjung kasih kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diatas kebijaksanaan Baginda Tuanku yang sanggup mengadakan temuduga dengan kesemua Ahli Parlimen, serta berjumpa kesemua pemimpin parti, dalam menyelesaikan kemelut politik Negara. Menjunjung kasih juga kepada Raja-Raja Melayu yang telah mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara bagi tujuan sama.

Gabungan Parti Sarawak(GPS) bersyukur kerana akhirnya kemelut politik Negara telah pun berakhir dalam keadaan aman berkat kebijaksanaan Baginda dalam menyelesaikan krisis secara adil dan saksama. Keputusan GPS dalam membantu menyelesaikan kemelut politik negara adalah demi kepentingan negara dan kestabilan politik.

Dengan perlantikan Perdana Menteri Kelapan juga, Kerajaan kini boleh menumpukan perhatian kepada usaha memulihkan ekonomi dan kewangan Negara, menangani masalah bebanan hidup rakyat, serta menarik kembali keyakinan pelabur ke Negara ini.

GPS juga kini boleh meneruskan rundingan dalam menuntut hak-hak dan kepentingan Sarawak dan berharap usaha ke arah itu dapat dipercepatkan melalui Kerajaan baharu di bawah Perdana Menteri kelapan. Keutamaan perjuangan GPS dalam menuntut hak dan kepentingan Sarawak tetap akan diteruskan.

Dalam memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, GPS telah meletakkan syarat bahawa kepentingan negara dan Sarawak perlu diutamakan, dengan tiada kompromi dalam hal ini. Setakat ini GPS tidak ada mengadakan sebarang perbincangan mengenai jawatan Kabinet dengan Perdana Menteri kerana buat masa sekarang GPS hanya melihat kepada kepentingan negara, untuk memastikan politik negara kembali stabil dan kepentingan Sarawak diutamakan.

Dalam Mesyuarat GPS dengan kepimpinan tertinggi GPS dan kesemua Ahli Parlimen GPS di Kuala Lumpur malam tadi, mandat penuh telah diberikan kepada Ketua Menteri Sarawak selaku Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, untuk memutuskan sama ada kita akan bersama dalam Kerajaan Persekutuan dengan mengambil jawatan Kabinet atau tidak, namun apa yang pasti GPS tidak akan bergabung di dalam Muafakat Nasional atau Perikatan Nasional, sebaliknya hala tuju GPS akan terus bergerak sebagai sebuah entiti politik tempatan yang tidak terikat dengan mana-mana gabungan.

Dakwaan DAP dan PKR yang cuba menakut-nakutkan rakyat Sarawak kononnya keputusan dibuat GPS menunjukkan GPS menyokong PAS dan UMNO adalah tidak berasas sama sekali kerana GPS diminta memilih calon Perdana Menteri, bukannya memilih untuk menyertai mana-mana gabungan. Mungkin DAP dan PKR lupa, merekalah yang pernah lama bekerjasama dan bergabung dengan PAS dalam Pakatan Rakyat, sedang GPS pula tetap sebuah entiti politik di Sarawak yang tidak menyertai manamana gabungan pun.

Malah kemelut politik negara juga dimulakan oleh DAP dan PKR. Kalau mereka konsisten menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dan tidak mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mungkin kemelut ini boleh diselesaikan lebih awal dan tidak berpanjangan. Perebutan kuasa dalam Pakatan Harapan sendiri yang menjadi punca keadaan politik negara kucar-kacir dan mereka tidak seharusnya menyalahkan pihak lain.

GPS membuat keputusan sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua parti politik memberikan pandangan dan menyatakan pendirian dalam menyelesaikan krisis politik negara yang berlarutan selama seminggu, sehingga menyebabkan keadaan tidak menentu dan ekonomi terjejas.

Kini semuanya sudah berakhir dan Perdana Menteri kelapan sudahpun dilantik. Semua pihak seharusnya menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong yang telahpun melalui proses perlembagaan dalam menyelesaikan krisis politik Negara. Marilah kita semua kembali fokus kepada usaha untuk bersamasama menyumbang ke arah pembangunan dan kemakmuran Negara.

Datuk Seri Fadillah Yusof Ketua Whip GPS (2 Mac 2020)

sumber : Sekretariat Gabungan Parti sarawak: