Hantar Pulang Pendatang Asing Tanpa Izin – Muhyiddin

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengarahkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang disahkan negatif Covid-19 dihantar pulang segara dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan wabak berkenaan di depoh tahanan imigresen.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sidang video bersama Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah bagi mendapatkan perkembangan terkini tentang situasi Covid-19 di Malaysia.

“Kami turut berbincang mengenai proses penghantaran balik pendatang asing tanpa izin (Pati) yang disahkan negatif Covid-19.

“Saya telah mengarahkan supaya proses tersebut dipercepatkan bagi mengurangkan risiko penularan semula jangkitan Covid-19 dalam kalangan PATI yang berada di depot tahanan imigresen,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan.
Lebih 380 warga asing tanpa dokumen sah yang ditahan di tiga depoh tahanan imigresen sebelum ini, disahkan positif ujian Covid-19.

Kluster tersebut dikesan apabila Kementerian Kesihatan melakukan ujian saringan setelah warga Myanmar yang dihantar pulang dari Malaysia, didapati positif virus berkenaan.

Mereka ditahan di depoh tahanan imigresen selepas serbuan dilakukan di beberapa lokasi dan sebelum ini diuji negatif wabak berkenaan.

SERAMAI 200 warga asing tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah ditahan ketika pemeriksaan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar Pasar Jalan Othman, di Petaling Jaya pada 20 Mei lalu

Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau turut membincangkan kempen menggalakkan pemimpin komuniti memperkasa komuniti masing-masing untuk melindungi dan memelihara komuniti daripada jangkitan Covid-19.

Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dijadualkan tamat pada 9 Jun, namun masih boleh dilanjutkan.

Terdahulu, 10 jangkitan baru Covid-19 direkodkan hari ini melibatkan lima rakyat Malaysia dan lima warga negara asing.

Perdana menteri berkata beliau berpuas hati dengan usaha yang dilakukan untuk memerangi Covid-19 di negara ini.

Sumber