Monday, October 14, 2019

Ibu Pelajar Dirotan Tarik Laporan Polis

Ibu kepada seorang pelajar perempuan yang dirotan guru di sebuah sekolah di Johor Bahru, sudah menarik balik laporan polis berhubung insiden itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata walaupun laporan itu ditarik balik sehari selepas ia dibuat, polis tetap meneruskan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera.

“Berhubung kes seorang pelajar dirotan gurunya, laporan memang sudah dibuat dan kita menyiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Bagaimanapun, ibu kepada pelajar berkenaan sudah mengambil keputusan untuk menarik balik laporan.

“Mungkin dia ada perbincangan (antara keluarga dengan sekolah). Dalam aspek itu, ia (menarik balik laporan) adalah urusan peribadi, namun pihak polis tetap meneruskan siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penghargaan Sempena Pertukaran Ketua Polis Johor anjuran Persatuan Polis Bantuan Kontinjen Johor dan Agensi Polis Bantuan Johor, di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi dua minit 28 saat menunjukkan seorang wanita meminta penjelasan daripada seorang guru lelaki berikutan anak perempuannya dirotan.

Dalam rakaman itu, guru berkenaan dilihat memberi penjelasan mengenai tindakan beliau merotan pelajar terbabit, namun dipertikaikan ibu berkenaan sambil menunjukkan kesan rotan pada tubuh anaknya. – sumber