Isu Lahat Datu : Siapa Bohong Kita Akan Tahu Kelak – Tun Mahathir

Kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah perlu menghentikan tentangan mereka terhadap pasukan keselamatan negara dan menyerah kalah jika mahu sebarang rundingan dilakukan, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


Beliau berkata rundingan tidak mungkin boleh dijalankan jika kumpulan bersenjata rakyat asing itu terus-menerus mahu mempertahankan tindakan mereka dengan cara kekerasan.
“Kalau nak berunding, nak apa pun, dia kena berhenti dulu…patut serah diri. Kalau tak serah diri payahlah nak berunding,” katanya selepas Majlis Program Bicara “Perkongsian Pengalaman Membina Negara’ di Muzium Kesenian Islam di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata sebarang peluang rundingan tidak boleh diberikan dengan mudah sehingga ada jaminan sebarang keganasan tidak akan berulang lagi kerana ianya melibatkan keselamatan penduduk dan anggota keselamatan.
“Kita nak runding pun bukan boleh macam tu saja…mereka ni bunuh orang (anggota keselamatan) kita dengan cara yang kejam.
“Ini dah timbulkan kemarahan rakan-rakan dan anggota keluarga, kita tak boleh ambil ringan…kerana ia melibatkan perasaan waris orang-orang yang terkorban kerana pertahankan kita,” katanya.
Baru-baru ini sebuah akhbar tempatan menyiarkan kenyataan Pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari yang dipetik Rappler.com bahawa beliau bersedia menjadi orang tengah bagi menyelesaikan isu pencerobohan ke atas Sabah.
“Ini perutusan saya kepada Perdana Menteri, (Datuk Seri) Najib Razak bahawa saya bersedia untuk menghantar cucu saudara saya untuk memulakan perbincangan,” katanya.
Misuari dipetik sebagai berkata bahawa beliau juga secara peribadi bersedia ke Malaysia untuk membantu menyelesaikan krisis yang bermula awal bulan lalu susulan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina menceroboh pantai Sabah dan berkubu di Lahad Datu.
Mengulas tindakan sesetengah media alternatif yang memanipulasi maklumat mengenai insiden di Lahad Datu, Dr Mahathir menasihatkan masyarakat supaya tidak terbawa-bawa dengan pendekatan tersebut.
Katanya, media propembangkang sememangnya mempunyai agenda melemahkan kerajaan dengan menyiarkan pelbagai cerita palsu dan memanipulasi keadaan yang berlaku.
“Jangan peduli…lama kelamaan akan terbukti siapa yang berbohong dan kita akan tahu mana maklumat salah dan yang mana betul,” katanya.
للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*