Jentera Umno Kini Sudah Sedia?!

Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bersidang hari ini memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan jentera pilihan raya dan telah menerima audit termasuklah laporan Pusat Daerah Mengundi (PDM), kata Presidennya merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

“Mengikut tinjauan dan laporan audit tersebut kita berasa berpuas hati. Kita harap usaha-usaha untuk memantapkan lagi kesiapsiagaan dan persiapan pilihan raya akan diteruskan oleh pimpinan negeri, bahagian hinggalah ke peringkat PDM,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di Ibu Pejabatnya, Menara Dato’ Onn hari ini.
Beliau turut memberitahu berkaitan Jawatankuasa disiplin yang akan memulakan tugasnya tidak lama lagi dengan diketuai oleh Tan Sri Tengku Ahmad Ritaudden sebagai Pengerusi Jawatankuasa Disiplin.
“Dengan nama-nama yang kita akan umumkan kepada bahagian maka setiap yang berlaku di peringkat tersebut akan ada wakil jawatankuasa disiplin yang boleh memantau keadaan dan seterusnya membuat laporan untuk memastikan bahawa tindakan untuk merosak atau mengkhianati parti diambil dengan seberapa segera yang boleh.”
Jawatankuasa Khas dan Pemantau ini akan melibatkan seorang pemantau dilantik di setiap bahagian yang mana lantikan merupakan salah seorang wakil tujuh yang dipilih ke Perhimpunan Agung UMNO dan yang tidak memegang jawatan di peringkat bahagian.
Dalam masa yang sama, beliau berkeyakinan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), memang berkemampuan dalam melaksanakan pilihan raya akan datang dengan adil dan bersih.
“Kita berharap bahawa pihak pembangkang akan menerima keputusan pilihan raya nanti dan tidak mencari alasan seandainya mereka tidak menang untuk menghuru-harakan negara kita serta menghormati keputusan rakyat sebagai prinsip yang penting dalam sistem demokrasi.

“Demokrasi berparlimen bererti kita mesti terima apa jua keputusan rakyat. Kalau percaya pada demokrasi maka kita tak boleh menolak sesuatu yang diputuskan oleh rakyat. Kalau kita menyanjung prinsip demokrasi berparlimen, itulah hakikatnya.”

Tegasnya lagi, kita ada undang-undang dalam negara dan semua orang mesti menghormatinya sebagai satu daripada asas dalam Rukun Negara, dalam Perlembagaan dan juga dalam perjalanan demokrasi.

للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*