Kaum Wanita Jangan Serah Jari Anda?!

Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta jentera parti agar memastikan tiada pengundi terpedaya dengan tindakan pembangkang yang didakwa mahu mengadakan demonstrasi berkaitan kaedah penggunaan dakwat kekal di jari pengundi.

Beliau berkata semua petugas yang berkempen dari rumah ke rumah perlu terus mengingatkan orang ramai bahawa tidak akan ada demonstrasi seperti itu.

“Mereka (pembangkang) khuatir dan mereka tahu yang mana akan sokong (BN). Mereka akan masuk ke rumah dan berpura-pura hendak buat demonstrasi cat kepada semua, termasuk warga emas.

“Saya dah maklumkan kepada semua ketua Wanita bahagian dan jentera parti supaya berhati-hati serta memaklumkan perkara ini mungkin angkara pembangkang,” katanya selepas perjumpaan jentera Wanita BN di Parlimen Tumpat di Kampung Laut hari ini.

Shahrizat mengulas dakwaan bahawa parti pembangkang cuba membuat demonstrasi kepada kaum wanita berkaitan kaedah mencalit dakwat di jari yang kesannya akan menimbulkan pertikaian pada hari pengundian Ahad ini.

Sementara itu, beliau yakin dua calon wanita yang dipilih bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan Nik Noriza Nik Salleh dan DUN Kemahang Dayang Saniah Awang Hamid mampu membawa perubahan di Kelantan.

Shahrizat juga yakin Nik Noriza atau lebih dikenali sebagai Kak Chik, mampu berdepan calon PAS Datuk Ahmad Yakob, yang juga penyandang DUN Pasir Pekan dan Timbalan Menteri Besar.

“Kak Chik adalah calon muka baharu yang berpengalaman, berpendidikan dan diterima oleh masyarakat tempatan. Walaupun pesaing beliau adalah timbalan menteri besar Kelantan, jangan hairan jika BN melalui Kak Chik dapat tawan kerusi di sini,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Shahrizat mengingatkan kira-kira 300 jentera Wanita Tumpat agar tidak lemah semangat dengan pelbagai halangan serta rintangan daripada pembangkang dan terus bekerja keras demi memastikan BN diberi mandat pada pilihan raya umum ke-13 ini.






للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*