KLUSTER KOBIS Perjudikan Nyawa Demi Sebiji Kobis?

Kerana Sumbangan, Kluster Kobis Bakal Wujud Kata Chegubard

Kuala Lumpur – Bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Badrul Hisham Shaharin membidas sikap tidak bertanggungjawab PKR Inanam yang membenarkan orang ramai berkumpul tanpa sebarang kawal ketika menyampaikan sumbangan baru-baru ini.

Badrul atau lebih dikenali sebagai CheguBard berkata, program sumbangan 1 biji kobis untuk 1 keluarga yang dianjurkan parti itu bakal menyebabkan negara berdepan dengan masalah yang lebih besar.

“Bukan kita nak halang atau sekat parti politik untuk beri sumbangan tapi bila mereka buat perangai macam ini (beri sumbangan tanpa kaedah yang sepatutnya) orang ramai berkumpul dah macam pilihanraya.

“Masalahnya kalau dalam ramai-ramai yang datang itu, ada seorang sahaja pembawa virus (Covid-19) maka sudah pasti ia akan tersebar dan tidak mustahil masyarakat Sabah dan negara bakal dikejutkan dengan satu lagi kumpulan pembawa virus yang baharu iaitu ‘kluster kobis,” katanya ketika dihubungi SuaraTV sebentar tadi.

Terdahulu Chegubard melalui laman Facebook memuatnaik beberapa keping yang memaparkan masyarakat Inanam berhimpun dalam jumlah yang ramai bagi mendapatkan sumbangan sebiji kobis.

Beliau seterusnya berkata tidak salah sekiranya ada mana-mana pihak ingin memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Namun perlu ada pengawasan dan kawalan dari pihak berkuasa bagi mengelakkan masalah yang lebih besar melanda.

“Sepatutnya pihak berkuasa seperti polis dan tentera dimaklumkan dan diminta untuk membantu agar kawalan dapat dilakukan.

“Atau sumbangan yang ingin diberikan itu dihantar terus ke rumah setiap penerima bagi mencegah sebarang kemungkinan tersebarnya virus Covid-19.

“Kita kena sedar, PKP yang dilaksanakan ini bertujuan untuk memutuskan rangkaian virus dan bukan sebaliknya,” tegasnya lagi.

Pihak penganjur sehingga kini gagal untuk dihubungi bagi mendapatkan maklumbalas berhubung kejadian tersebut. – SuaraTV

baca juga Penerima bantuan tidak hirau keselamatan https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/04/677869/covid-19-penerima-bantuan-tidak-hirau-keselamatan