Ku Li Calon PM Pembangkang?!

Anwar ditolak oleh Majlis Syura PAS bukan lagi merupakan desas-desus atau khabar angin yang digembar-gemburkan atas nama propaganda politik. Hakikatnya, Majlis Syura PAS kini benar-benar tegas enggan menerima Anwar sebagai Perdana Menteri kerana diselubungi masalah moral, LGBT, liberalisme dan pluralisme. 


Penolakan itu diketuai sendiri oleh Hadi Awang, Haron Din, Haron Taib, Tuan Ibrahim dan beberapa lagi nama-nama penting dalam Majlis Syura. 

Nama Hadi Awang dan Ku Li kemudiannya diumumkan sebagai calon Perdana Menteri. 

Namun, Ku Li dilihat mempunyai lebih berpotensi kerana beliau mampu mengekalkan Kelantan, selain mempunyai imej yang lebih bersih dari Anwar. Ku Li juga diterima baik oleh orang Melayu, malah dilihat mampu melonjakkan sokongan Melayu terhadap PAS yang sudah berada di tahap tepu. Selain itu, Ku Li yang telah lama di dalam UMNO juga mempunyai imej lebih terbuka yang mana memudahkan penerimaan kaum bukan Melayu terhadapnya. 

Atas faktor ini maka nama Hadi telah terpaksa dibelakangkan buat sementara waktu, terutamanya bagi mengelak sebarang masalah dengan DAP. 

Strategi PAS ialah, Ku Li yang telah disahkan akan bertanding atas tiket UMNO di kawasan azalinya, Gua Musang, tidak akan dicabar, sebaliknya dibiarkan menang tanpa bertanding. Setelah menang, Ku Li kemudiannya akan mengumumkan keluar UMNO dan berkempen untuk Pakatan Rakyat sebagai calon PM. 

Bagaimanapun, keputusan ini diambil oleh PAS secara sendirian, iaitu tanpa berbincang dengan PKR dan DAP kerana menganggap perbincangan mengenai calon PM dengan kedua-dua sekutu mereka itu sebagai sia-sia berdasarkan pengalaman di mana semua isu yang berbangkit, tidak akan sama sekali memihak kepada PAS. Selama ini juga, keputusan meletakkan Anwar sebagai PM tidak pernah dibincangkan dan tidak pernah dipersetujui oleh PAS tetapi tetap dikira sebagai keputusan bersama atas dasar demokrasi 2-1. 

Nampaknya, PAS sudah mula bangkit dan tidak sanggup lagi dipijak-pijak oleh DAP dan PKR. Majlis Syura melalui suara lantang Dato’ Haron Din, kini berusaha membuktikan bahawa mereka bukanlah sampah atau anjing kurap mahupun kuda tunggangan kepada sesiapa dan PAS tidak akan lagi bertolak ansur dalam isu-isu yang membabitkan Melayu dan Islam, terutamanya isu Kalimah Allah. 

Keputusan mengenai ‘Perdana Menteri PR’ ini disampaikan kepada Anwar dalam satu pertemuan yang dihadiri oleh Nik Aziz, Hadi Awang, Haron Din di pihak PAS serta Azmin, Saifuddin Nasution, Rahim Ghouse dan Anwar sendiri di pihak PKR. Anwar dilaporkan begitu berang, tetapi terpaksa menahan kemarahannya apabila diberitakan bahawa beliau ditolak mentah-mentah sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat. 

Anwar yang tidak dapat menerima penolakan tersebut telah menemui Haron Din secara peribadi di rumah. Bagi mengelak desakan Anwar, Haron Din memberi alasan bahawa perlantikan Ku Li hanyalah bersifat transisi, iaitu sekadar untuk memastikan kemenangan dalam pilihanraya sebelum menyerahkan jawatan PM kepada Anwar. 

Namun, pastinya Anwar lebih tahu apakah alasan itu logik atau tidak. 

Keputusan yang diambil oleh Majlis Syura ini, bagaimanapun, masih bersifat ‘tergantung’. Ini kerana pihak yang terlibat, iaitu Ku Li sendiri, belum lagi bersuara dan kalaupun beliau bersuara kita belum tahu lagi apakah ia suara hati atau suara politik. 

Dengan DAP tidak dilibatkan dalam perbincangan yang membawa kepada keputusan ini, tentulah lebih sukar lagi bagi Majlis Syura untuk memastikan rancangan mereka berjaya. 

Apa yang pasti, Anwar benar-benar berang dan kemarahan tersebut telah dihamburkannya tanpa sembunyi-sembunyi lagi di dalam mesyuarat PKR. Dan pastinya, DAP lebih lagi berangnya kerana PAS jelas ‘tidak mendengar kata’. 

Ini bukan kali pertama PAS membuat U-Turn ketika bersama Pakatan Rakyat. PAS telah beberapa kali U-turn dalam isu hudud, begitu juga dengan isu-isu arak, judi dan lain-lain. Isu Kalimah Allah ini juga belum pasti merupakan U-turn PAS yang terakhir. Pada tahun 2010 PAS bersuara senada dengan DAP tetapi pada 2012, PAS bermain irama berlainan pula. 

Oleh itu, selagi PAS masih berangan untuk ke Putrajaya dan menduduki kuasa, apakah jaminan yang parti itu tidak akan membuat U-turn sekali lagi dan turut menyertai koir DAP menyanyikan lagu Kalimah Allah di dalam Injil demi mencapai cita-citanya? 

Jika Majlis Syura benar-benar ikhlas untuk kembali meletakkan agama mengatasi politik, maka ia adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan. Tetapi, kita masih tidak faham bagaimana sekumpulan Ulama boleh menggunakan strategi yang licik, tidak ikhlas, malah khianat kepada rakan sekutu sendiri dalam usaha untuk berkuasa. 

Seharusnya, para Ulama membawa sikap tulus dalam berpolitik iaitu tanpa tipu helah atau muslihat serta menyatakan kebenaran secara konsisten, tidak kira sama ada sesama sendiri atau di depan rakan sekutu, di depan musuh atau di dalam media. 

Lihat saja bagaimana para Ulama ini yang masih enggan mengambil risiko kehilangan peluang untuk menang PRU, maka mereka pun menghantar ‘bola’ ke kaki Ku Li. Tetapi dihalang oleh Anwar dan DAP. Justeru, apakah kesudahannya permainan para Ulama di dalam Majlis Syura ini? 

Jelaslah bahawa PR sudah pun kehilangan arah sebelum Pilihanraya. Justeru, bagaimana kita boleh mengharap kepada parti yang kehilangan arah ini, untuk membawa kita ke mana-mana?
للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*