Lahad Datu : Tak perlu layan tuntutan Jamalul Kiram III

AKHBAR di Filipina pada 25 Mac lalu melaporkan kerajaan Filipina mungkin mengemukakan tuntutan ke atas Sabah. Kemungkinan itu dibayangkan oleh Setiausaha Kehakiman Filipina, Leila de Lima susulan arahan Presiden, Benigno Aquino III untuk meneliti kesahihan tuntutan Jamalul Kiram III terhadap negeri berkenaan.

Yang menjadi persoalan, apakah Filipina berhak menuntut Sabah menerusi Jamalul Kiram III?

Saya berpandangan, Filipina tiada asas yang kukuh untuk menuntut Sabah kerana Jamalul Kiram III tidak pernah diiktiraf sebagai Sultan oleh masyarakat Sulu di selatan Filipina. Dalang pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di timur Sabah itu sebenarnya syok sendiri.

Mungkin tidak ramai yang tahu, masyarakat Sulu mempunyai adat istiadat tersendiri berhubung pertabalan seorang Sultan. Dalam hal ini, mereka mempunyai kaedah yang agak unik. Saya difahamkan, kata pemutus tentang siapa yang layak menjadi Sultan terletak pada tangan 500 pembesar adat masyarakat Sulu yang bergelar Datu.

Setelah persetujuan dicapai, istiadat pertabalan Sultan Sulu seterusnya dilangsungkan di Rumah Bichara. Sultan Sulu yang baharu ditabalkan juga dikehendaki bersemayam di dalam wilayah kesultanannya.

Merujuk kepada adat istiadat tersebut, sudah tentu Jamalul Kiram III tidak layak digelar Sultan Sulu. Mengapa saya kata begitu? Jamalul Kiram III tidak dilantik oleh 500 Datu, tidak ditabalkan di Rumah Bichara dan kini beliau bersemayam di Manila.

Secara logiknya, kerajaan Filipina atau mana-mana kerajaan lain di dunia tidak perlu melayan tuntutan Jamalul Kiram III kerana beliau sendiri tidak pernah diperakui oleh masyarakat Sulu sebagai Sultan. Memandangkan Jamalul Kiram III bukan Sultan Sulu yang sah, tuntutannya ke atas Sabah juga tidak sah.

Nama keluarga Kiram boleh dikatakan tidak disenangi oleh masyarakat Sulu khususnya kaum Tausug. Sultan Jamalul Kiram II (1884 – 1936) dianggap sebagai tali barut Amerika Syarikat yang menjajah Filipina semasa era pemerintahannya. Baginda dikatakan merestui pembunuhan beramai-ramai lebih 4,000 orang Islam etnik Tausug di Bud Bagsak dan Bud Dahu pada Mac 1906.

Penyembelihan terhadap keluarga Datu dan Syarif Tausug itu turut meragut nyawa ramai wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa. Mereka dibunuh dengan kejam ekoran enggan membayar cukai kepala kepada kerajaan kolonial Amerika Syarikat. Berikutan insiden berdarah itu, kaum Tausug tidak dapat menerima sesiapa sahaja yang susur galurnya daripada keluarga Kiram sebagai Sultan.

Penolakan masyarakat Tausug terhadap keluarga Kiram itu bukan sesuatu yang ganjil. Sebagai rakyat, kaum Tausug telah memberi kepercayaan kepada Sultan Jamalul Kiram II untuk melindungi mereka daripada sebarang ancaman. Malangnya, kepercayaan itu dibalas dengan pengkhianatan. Insiden Bud Bagsak serta Bud Dahu sentiasa dikenang sebagai detik hitam dalam sejarah kaum Tausug.


Selain itu, Brunei sebenarnya tidak pernah menyerahkan kawasan Borneo Utara yang dikuasainya kepada Sultan Suluk. Fakta itu dinyatakan secara terang dan jelas di dalam buku Tarsilah Brunei: Zaman Kegemilangan dan Kemasyhuran yang ditulis oleh Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Datuk Seri Utama Dr. Haji Mohd. Jamil Al-Sufri. – Utusan

للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*