Monday, November 18, 2019

Makcik Dipenjara Kerana Gagal Bayar Denda

Seorang peniaga terpaksa meringkuk di penjara selepas gagal membayar denda RM100,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret Kemaman hari ini kerana kesalahan memiliki rokok seludup, Mac lalu.

Sebelum ini, tertuduh, Rogayah Musa, 40, dijatuhi hukuman denda RM100,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan dibuat selepas tertuduh mengaku salah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta yang sama kerana memiliki barang larangan Kastam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan disedari memiliki pelbagai jenama rokok seludup bernilai RM92.68 dan melibatkan cukai berjumlah RM186.40 yang mana barang-barang tersebut adalah barang yang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) 2018.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Bandar Seri Bandi, Kemaman, kira-kira jam 8 malam, pada 13 Mac lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Di Raja Malaysia Terengganu di hadapan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh yang gagal menjelaskan denda berkenaan seterusnya dihantar ke Penjara Bentong, Pahang, bagi menjalani hukuman. sumber