Malakat Mall Rasmi Dibuka Hari ini

Hari ini, Jumaat, 13 Mac 2020 adalah hari bersejarah buat orang Islam di Malaysia. Pada hari ini sebuah mall yang dinamakan Malakat Mall akan dibuka dengan rasminya. Malakat adalah bahasa Arab yang bermaksud pertemuan.

Nama Melaka dikatakan bermula dengan nama Malakat, kerana Melaka pada ketika itu adalah tempat pertemuan para pedagang yang terbesar di Nusantara. Pengasas Malakat Mall, Coach Fadzil Hashim memilih nama Malakat untuk mematerikan nama yang bersejarah lagi bermakna itu untuk sebuah mall Muslim.

Malakat Mall bukan sebuah pasaraya semata-mata. Ia amat bersignifikan kepada ekonomi Melayu Muslim. Mengambil contoh pasar Madinah yang didirikan Nabi Muhammad saw sebagai pasar alternatif kepada pasar Yahudi pada ketika itu, Malakat Mall bukan bertujuan untuk bertanding dengan mana-mana mall konservatif yang lain. Sebaliknya ia adalah sebuah medan perdagangan tersendiri untuk memperbetul ekosistem ekonomi Islam.

Berikut adalah himpunan intisari kata-kata Coach Fadzil mengenai Malakat Mall melalui ucapan dan kuliahnya sebelum ini:

IDEA MEWUJUDKAN Malakat Mall tercetus di program Ayuh Bangkit Siri ke 3 iaitu bulan Julai 2019, sebelum kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF) bersemarak. Idea ini tercetus apabila saya semakin memahami punca kenapa usahawan Muslim tidak mampu meningkatkan syer ekonomi negara.

2. Apabila mereka tidak mampu menjalankan operasi di dalam ‘Shopping Mall,’ mereka tidak mungkin akan berjaya meningkatkan syer pasaran mereka. Mereka yang menguasai pasaran runcit akan menguasai ekonomi. Sebab apa? Peruncit mempunyai kuasa menentukan apa yang pengguna beli. Dengan penguasaan pelanggan, mereka juga akan mampu mengawal rantaian pembekalan barang-barang tersebut.

3. Pada permulaannya saya ingin menunggu pembinaan Raudhah City yang juga akan menempatkan Malakat Mall. Tetapi setelah bersama pelbagai jenis usahawan yang saya bimbing secara percuma sejak saya lancarkan program Ayuh Bangkit saya berasakan perlunya kita mempunyai mall dalam masa yang singkat.

4. Memahami kos untuk membina mall sangatlah tinggi dan mengambil masa yang lama, saya telah mengarahkan pasukan saya untuk mendapatkan dead mall atau ‘mall yang mati’. Ini membolehkan kita mendapat tawaran sewa yang jauh rendah untuk 3 tahun pertama.

5. Objektif utama Malakat Mall bukanlah hanya untuk mewujudkan Pusat Beli Belah barangan Bumiputera. Tetapi bagi membina ekosistem ekonomi yang membolehkan komuniti yang berbelanja mendapat manfaat langsung dan menyumbang secara langsung pula kepada ‘Ummah Victory Fund’ yang akan digunakan untuk menyelesaikan masalah ummah yang lain khususnya kemiskinan, pendidikan, kesihatan, food security, perumahan untuk fakir miskin dan juga memerangi RIBA!

6. Ini semua mampu diselesaikan dengan hanya menyatukan kuasa pembelian kita.

7. Kami merancang untuk membina ekosistem ekonomi bagi 1,000,000 keluarga yang akan mewujudkan 10,000 peluang perniagaan, 5,000,000 peluang pekerjaan dengan pendapatan minima RM 10,000 sebulan. Ini hanya akan dapat dicapai sekiranya 1,000,000 keluarga menyertai kami dan menyokong usaha-usaha kami.

8. Inilah masanya yang sekian lama kita tunggu. Hanya dengan menyatukan kekuatan kita sebagai pengguna dalam sistem ekonomi komuniti yang baharu, kita akan mampu membina masa depan yang lebih baik untuk semua.

Malakat Mall mempunyai model perniagaan yang unik seperti berikut:

Tiada SEWA dikenakan kepada penyewa

Semua usahawan adalah rakan kongsi melalui revenue sharing (amalan biasa di Mall-Mall sedia ada) mereka harus membayar sewa + revenue sharing

Semua usahawan akan dipimpin hingga berjaya melalui bimbingan, latihan dan dibantu sebagai rakan usahasama

Malakat Mall akan dijadikan pusat perkembangan komuniti di mana latihan komuniti akan diberikan secara berterusan yang melibatkan seluruh komuniti

Malakat Mall juga berperanan sebagai pusat pendidikan perniagaan yang mana pelajar, dropship, agen, pengguna akan mendapatkan akses segala jenis latihan perniagaan yang diperlukan.

Malakat Mall akan juga memainkan peranan sebagai pusat transformasi perniagaan di mana peniaga-peniaga lain akan mampu menyatukan pembelian barangan umum untuk mengurangkan kos operasi mereka.

Setiap usahawan haruslah memiliki produk yang sesuai dan unik. Imej haruslah setanding dengan jenama luar negara. Bimbingan akan diberikan kepada mereka agar mencapai penanda aras ini

Harga yang ditawarkan di Malakat Mall akan setanding dengan mana-mana mall lain

Semua kedai di Malakat Mall tidak akan menerima tunai sebab semua transaksi akan menggunakan applikasi komuniti

ALLAH akan menjadi teras kepada setiap keputusan yang dilakukan di Malakat Mall.

minute Solat Break & Solat Anywhere akan dilaksanakan setiap masuk waktu solat. Semua ruang yang bersih akan dibekalkan dengan bangku yang mempunyai sejadah bagi semua menunaikan solat di awal waktu samada di dalam restoran mahupun di lobi. (Ini juga akan menjadi tarikan pelancong untuk memahami kehidupan Islam moden).

Ada pelbagai lagi maklumat yang belum boleh dikongsikan di sini. Nanti tiada kejutan pulak!

Susunan: Norden Mohamed

 

2000 ORANG HADIR MUNAJAT PERDANA MALAKAT MALL, TIUP SEMANGAT KEBANGKITAN EKONOMI ISLAM