Malaysia Kini Dihantui Kluster Bali #Covid19Malaysia

PUTRAJAYA: Sepuluh daripada 43 kes positif COVID-19 bagi kluster pesakit di bawah pemantauan (PUI) Bali di sebuah pusat perubatan di Kuantan, adalah membabitkan anggota kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata hingga kini, seramai 30 pesakit sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan seorang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sembilan orang sudah sembuh dan tiga orang meninggal dunia iaitu bagi kes ke-1575, kes ke-5064 serta kes ke-4129.

“Sebanyak 2,301 ujian saringan COVID-19 sudah dijalankan membabitkan anggota kesihatan dan pesakit dari pusat perubatan berkenaan.

“Langkah kawalan penularan jangkitan sedang giat dijalankan dengan kerjasama rapat Kementerian Kesihatan termasuk proses dekontaminasi dan pemindahan pesakit ke hospital kementerian yang berdekatan.

“Ini adalah untuk memastikan pusat perubatan itu selamat dan diyakini bebas daripada jangkitan COVID-19,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham turut menekankan kepentingan bagi anggota kesihatan untuk memakai topeng muka terutama ketika mengendalikan kes penyakit seperti influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI), selain pemakaian alat perlindungan diri (PPE) yang sesuai semasa melakukan sebarang prosedur klinikal.

“Semua anggota kesihatan dan barisan hadapan juga dinasihati mengamalkan langkah pencegahan terutama memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan penjarakan sosial di dalam dan luar tempat kerja serta pemakaian PPE mengikut keperluan,” katanya.

Kes indeks bagi kluster Bali iaitu kes ke-4684 mempunyai sejarah perjalanan ke Bali, Indonesia.

Kes indeks itu mempunyai kontak rapat dengan kes ke-1575, iaitu abang kepada kes indeks yang dimasukkan ke wad SARI pusat perubatan berkenaan pada 19 Mac lalu dengan gejala demam dan jangkitan saluran pernafasan. – Sumber