Mat Sabu : Kenapa saya sokong Khomeini?!

Demi ‘demokrasi’
“Jadi saya balik lepas PAS kalah teruk, tinggal dua kerusi sahaja. Saya terus ke pejabat PAS ambil borang jadi ahli pas. Jadi saya sertai PAS bukan sebab dasar Islam atau bukan Umno – atas demokrasi.
“Waktu itu (saya) tak tahu hal-hal dasar (PAS) dan sebagainya, dan perjuangan (untuk) demokrasi dari dulu sampai sekarang,” katanya yang popular dengan nama gelaran Mat Sabu.
Atas dasar itulah juga Mohamad meletakkan dirinya sebagai penggerak utama kepada perhimpunan 40,000 rakyat pada November 2007 bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil.
Dalam kedudukannya kini sebagai timbalan presiden, Mohamad Sabu kembali sebagai teraju utama bagi perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai yang telah diluluskan PAS sebagai acara wajib untuk disertai oleh anggota parti itu.
Ketika ditanya, Mohamad berkata beliau yakin untuk terus mendapat sokongan dalam parti walau memegang pendirian yang berbeza dengan pemimpin lain dalam parti itu.
“Tak apa. Pandangan berbeza (anggota parti) suka tapi nak ikut dia payah,” katanya sambil tersenyum.
Begitu juga halnya apabila beliau terpaksa menjelaskan pendiriannya untuk tidak menerima gelaran ‘Datuk’ daripada Istana.
“Orang biasa kalau jumpa selalu kata ‘kami doa Abang Mat dapat (gelaran) Datuk’. Saya cuma senyum. Itu adalah pandangan umum sebab mursyidul am (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) pun (terima gelaran) itu, jadi saya berdiam sajalah.
“Kalau bercakap benda ini… ini dah bercakap dah ni, nanti dimarah oleh semua orang,” katanya lagi sambil ketawa.
Candu agama
Mohamad sedar pandangannya itu akan menimbulkan kemarahan orang dalam partinya sendiri, namun beliau tetap menjelaskan bahawa kalangan pemimpin dalam PAS yang “mengejar” pangkat berkenaan berbuat demikian kerana melihat gelaran tersebut sebagai satu keperluan.
“Mereka ingat ini perlu, bila ini perlu maknanya kita amalkan sistem kasta… Ini pandangan yang berbeza dengan orang lain.
“Tapi saya tak paksa pandangan saya pada orang lain. Ini hal peribadi saya,” katanya yang turut mengaitkan penganugerahan pingat seperti itu dengan sistem kelas dan “pemujaan feudalisme.”
Mohamad berkata beliau menyetujui petikan dalam satu teks tersohor oleh pengasas sosialisme moden – Karl Marx – bahawa agama merupakan candu bagi rakyat.
“Saya beri ulasan bahawa paderi-paderi menyokong Tsar zalim (sedangkan) upah pekerja tak dipedulikan. Maknanya kalau mahukan perubahan sosial kena tolak agama, dalam pengertian masa itu, yang menyokong kezaliman,” katanya lagi.
Katanya, perkara tersebut ditimbulkan dalam satu perbincangan dengan seorang sarjana Jerman dan beliau kemudiannya dijemput ke negara berkenaan untuk memberikan syarahan dan berdialog dengan ahli akademik di situ.
“Benda macam ini yang (buat) orang tuduh saya aliran lain. Ini yang saya tengok ugama disalah guna, salah erti,” katanya lagi yang pernah dilabel sebagai pengikut Syiah.
Tambahnya, beliau begitu kagum dengan Ayatollah Khomeini yang memimpin revolusi Iran pada 1979 – peristiwa yang banyak membentuk pemikirannya.
“Kenapa saya sokong Khomeini? Sebab dia menggunakan agama untuk menggerak perubahan melawan Shah. Tapi sekarang di Malaysia, di Negara arab, lebih seperti candu.Ini cukup kontroversi jika saya bawa pandangan macam ini.
“(Kalau) golongan raja atau orang besar buat kesalahan, ada ulama yang cuba lindungi kesalahan ini. Kalau orang bawah buat?,” soalnya.
Pengalamannya ditahan bawah ISA, kali pertama pada 1984 dan kali kedua pada 1987, mengukuhkan lagi pandangannya ke atas aspek keadilan sosial.
‘Adinda’ Lim Guan Eng
Ketika ditahan kali kedua dalam Ops Lalang, beliau mengambil peluang berkenaan untuk mengukuhkan hubungan dengan pemimpin yang turut ditahan pada waktu itu – terutamanya Lim Guan Eng yang sering dibahasakannya sebagai ‘adinda’.
Katanya, beliau sering berbual dengan Lim ketika dalam tahanan dan mendapati beliau mempunyai banyak persamaan idea dengan bekas ahli parlimen Kota Melaka itu.
Bagaimanapun, hubungannya dengan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula nampaknya tidaklah sebaik hubungannya dengan Lim.
Mohamad mengakui bahawa tindakan Anwar yang meninggalkan Abim untuk menyertai Umno pada 1982 telah “memakan hati” anggota pertubuhan berkenaan.
Malah Mohamad turut meninggalkan pertubuhan tersebut sebagai tanda protes ke atas tindakan Anwar menyertai Umno dan kemudiannya menjadi musuh politik “nombor satu” Anwar termasuk bertanding dalam pilihan raya 1986 bagi mencabar Anwar di kerusi parlimen Permatang Pauh.
Hinggakan, beliau sanggup memanggil Anwar yang merupakan timbalan perdana menteri pada masa itu dengan gelaran “Anwar Al-Juburi” dalam satu sidang Dewan Rakyat, ketika isu skandal liwat tersebut memuncak.
Beliau kemudiannya tidak lagi menyerang Anwar yang juga timbalan presiden Umno pada masa itu apabila Anwar dipecat daripada parti dan menubuhkan Parti Keadilan Nasional bagi membentuk kerjasama dengan PAS.
“Dalam Islam, kata yang benar di depan pemerintah yang zalim, bukan yang pencen. Kalau kita serang Mahathir saja tak guna, kita kena serang Najib, Hishammuddin.- malaysiakini
*sebab itu kit siang dan nik aziz tak pencen….?
للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*