MBSA Roboh Bangunan Tanpa Izin?

TINDAKAN MBSA ROBOH BANGUNAN TANPA IZIN

(MENGAWAL MENGELAKKAN TINDAKAN SALAHGUNA KUASA PIHAK BERKUASA TEMPATAN)

CONTOH KES : PEROBOHAN STRUKTUR KONONNYA SYARIKAT TEKSTILE TERKEMUKA DI SHAH ALAM

1. Satu tindakan meroboh bangunan yang dikatakan Bangunan Tanpa Izin di Seksyen 7 Shah Alam telah dilakukan oleh MBSA pada baru baru ini.

2. Ia telah menjadi topik hangat dikalangan rakyat khasnya warga Bandar Shah Alam.

3. Saya menegaskan di sini bahawa Tindakan penguatkuasaan yang dilakukan oleh MBSA tidak mengikut langkah Undang-undang yang betul yang diperuntukan di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan (A133) 1974.

4. Seksyen terpakai yang digunakan pada Notis-notis yang diserahkan oleh MBSA kepada pemilik bangunan tanpa izin ini tidak mengikut turutan dan langkah- langkah yang wajib di patuhi oleh MBSA untuk menguatkuasakan tindakan meroboh bangunan tersebut.

5. Notis Merobohkan bangunan di bawah Seksyen 72(1) Akta 133 ini adalah arahan MBSA kepada pemilik bangunan untuk merobohkan secara sukarela oleh pemilik dan jika pemilik bangunan ini gagal, tidak mampu atau mengabaikan arahan ini, maka pemilik bolehlah meminta MBSA untuk merobohkan bangunan tanpa izin ini dengan memasukkan sejumlah wang dan kos kepada MBSA untuk dirobohkan oleh PBT tersebut.

6. Jika tiada permintaan oleh pemilik maka MBSA boleh mengeluarkan satu lagi Notis mengarahkan pemilik bangunan tersebut satu Notis Mengosongkan bangunan di bawah Seksyen 72(6) Akta 133. TETAPI…..

7. MBSA “Tidak Boleh” datang selepas itu untuk merobohkan bangunan tanpa izin ini tanpa satu PERINTAH MAHKAMAH yang diperuntukkan di bawah Seksyen 91 Akta 133 yang di panggil “Perintah Mendatori”.

8. Ini menunjukkan bahawa Akta 133 ada memperuntukan kawalan kuasa kepada MBSA supaya tidak melampaui batasan kuasa yang diberi atau dengan kata lain tak boleh senang senang nak robohkan bangunan milik orang.

9. Tiga persoalan saya bangkit kan disini:

i. Kenapa penguatkuasaan ini mengambil masa yang panjang? dan;

ii. Kenapa MBSA tidak mengikut Undang-undang penguatkuasaan yang dinyatakan jelas di bawah Akta 133 ini? dan;

iii. Kenapa MBSA tidak mengenakan caj dan kos merobohkan bangunan ini dari pemilik bangunan tersebut. Perlu diingat gaji para pekerja dan pegawai MBSA dibayar oleh pembayar cukai dan pemegang lesen rakyat Shah Alam.

10.Adakah MBSA selepas ini akan suka-suka sahaja datang merobohkan
bangunan-bangunan yang dikatakan tanpa kelulusan majlis dengan tidak mengikut aturan yang ditetapkan di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan?

11.Sebagai Pembayar Cukai dan Rakyat Malaysia anda perlu tahu hak-hak anda. PBT sepatutnya menjadi pendidik dan agen perkhidmatan terbaik kepada Rakyat. PBT wajib mematuhi Undang-undang diamanahkan kepada mereka dengan memberi contoh kepada Rakyat bahawa mereka sendiri Patuh kepada Undang-undang tersebut.

Janganlah jadi macam Emak Ketam hendak mengajar Anak Ketam berjalan lurus.

Adzly Ab Manas
Advocates & Solicitors