Mohammad Redzuan Othman Penghasut?!

Dalam jangkamasa yang terdekat dan terlalu hampir dengan PRU13, banyak pihak yang mulai memperlihatkan kecenderungan terutama untuk membantu pihak yang disokong. Mereka yang ada nama, berjawatan mahupun yang berselindung di sebalik pelbagai agensi, entiti atau persatuan akan mempergunakan apa yang mereka ada semaksima mungkin demi tujuan berkenaan.

Menariknya, golongan yang seringkali menggelarkan diri mereka sebagai ahli akademik mempunyai pendekatan yang lebih bombastik dan kelihatan seperti sangat bijak walaupun pada masa yang sama, ia sebenarnya bersifat tidak pijak tanah.

Salah seorang daripada ahli akademik yang dimaksudkan adalah Prof. Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman dari UMCEDEL (Pusat Pilihanraya dan Demokrasi Universiti Malaya). Dia juga merupakan bekas Setiausaha Agung PMIUM dan orang tengah yang membawa Nurul Izzah dan ramai pemimpin PKR ke dalam aktiviti Universiti Malaya. Malah dia juga merupakan orang perantaraan antara Naib Canselor UM dengan Anwar Ibrahim.

Pada 19 Februari nanti, dari jam 8:30 pagi sehingga 5:30 petang, Redzuan Othman telah menggerakkan promosi besar-besaran untuk Pakatan Rakyat dengan menggunakan UMCEDEL dengan membuat pembentangan ‘SEMINAR POLITIK DAN PILIHANRAYA MENJELANG PILIHANRAYA UMUM KE-13′ yang diadakan di Dewan Kuliah B, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

Dia sendiri akan membuat pembentangan yang bertajuk, ‘SOSIO-POLITIK PRA PRU’ dari jam 9:00 pagi sehingga 10:00 pagi.

Pembentangan kedua akan dilakukan oleh STEVEN GAN dari Malaysiakini, ZULKIFLI SULONG dari Harakah Daily dan JALIL ALI dari Sinar Harian. Tajuk pembentangan adalah ‘HARAPAN BN DAN PR DALAM PRU KE-13′ dan pembentangan akan dilakukan dari jam 10:30 pagi sehingga 12:30 tengah hari.

Selepas dua pembentangan yang sah-sah sangat berpihak kepada Pakatan Rakyat itu, sebuah forum pula akan diadakan. Tajuk forum adalah KECEMERLANGAN BN ATAU PR? dari jam 2:30 petang sehingga 5:00 petang. Ahli panel forum adalah YB Kamalanathan dari MIC, YB Nurul Izzah dari PKR dan Husam Musa dari PAS. Ahli panel keempat sepatutnya dari Barisan Nasional tetapi belum lagi dinamakan calonnya.

Barangkali elok juga kalau dipanggil Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi atau lebih dikenali dengan frasa POLITIK BARU, merangkap Ahli Parlimen Temerloh yang sangat tidak peduli dengan kebajikan rakyat yang diwakilinya dalam kawasan Parlimen sendiri, sebagai calon keempat.

Apatah lagi Saifuddin Abdullah juga merupakan salah seorang penyokong Anwar Ibrahim yang sangat tegar tetapi masih enggan melepaskan semua jawatannya dalam UMNO dan Barisan Nasional tetapi tidak pernah menyorokkan sokongannya kepada Anwar Ibrahim dan PKR..

Tiada biazanya antara Mohammad Redzuan Othman dengan Saifuddin Abdullah. Kedua-duanya mempergunakan jawatan yang disandang untuk kepentingan pihak yang mereka sokong iaitu Anwar Ibrahim dan PKR. Apatah lagi, Saifuddin Abdullah merupakan salah seorang calon dari UMNO-BN yang hendak melompat masuk Pakatan dalam DRAMA 16 SEPTEMBER 2008. Pun begitu, selepas kegagalan drama fantasi tersebut, Saifuddin Abdullah tidak langsung membayangkan mahu melepaskan semua jawatan yang disandangnya dan masuk PKR secara rasmi.

Apa yang dimusykilkan, mengapa tiada satu pun wakil media cetak yang menyokong Barisan Nasional dijemput oleh UMCEDEL untuk membuat pembentangan. Sebaliknya yang dijemput cumalah wakil dari media-media yang memang nyata menyokong Pakatan Rakyat, terutama sekali PKR.

Walaupun YB Kamalanathan, Ahli Parlimen Hulu Selangor diletakkan sebagai salah seorang panel, namun berdasarkan kepada hierarki dan senioriti, sepatutnya UMCEDEL menjemput tokoh-tokoh pimpinan dari UMNO memandangkan UMNO lebih dominan berbanding MIC. Malah dalam banyak gerak kerja yang dilakukan Barisan Nasional, UMNO yang kelihatan lebih banyak bergerak berbanding MIC yang masih lagi dalam proses cantas-mencantas dengan Presidennya sendiri berebut tempat di Cameron Highland, kerusi yang dianggap paling selamat untuk MIC.

Redzuan Othman semakin mengesahkan bahawa Universiti Malaya sudah pun menjadi sarang untuk PKR memanjangkan hayat, terutama di kalangan mahasiswa dan generasi muda. Dan tidak hairan jugalah mengapa status akademik Universiti Malaya menjunam teruk sepertimana menjunamnya moraliti Anwar Ibrahim! – sumber

للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*