Pakatan Rakyat Sudah Putus Asa?!

Pakatan pembangkang melancarkan manifesto untuk berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tanpa ‘tuan’ lantaran jawatan Perdana Menteri masih tidak diumumkan dan terus diragui wujudnya individu yang layak dalam pakatan terbabit.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman menganggap manifesto pakatan pembangkang yang dilancarkan semalam ibarat tidak beribu dan berbapa.
“Sepatutnya, seorang pemimpin yang berwibawa akan berdiri teguh di belakang manifesto yang dilancarkan untuk menjadi ikon atau lambang kepada keseluruhan rakyat bahawa inilah Perdana Menteri yang akan menerajui pentadbiran negara sekiranya pakatan pembangkang berjaya mendapat mandat selepas PRU ke-13 nanti,” katanya kepada UMNO-Online.
Ujar beliau, dalam keadaan manifestonya yang dipertikaikan banyak pihak maka tentunya penilaian dapat dilihat bagaimana keadaan yang wujud dalam pakatan pembangkang apabila tidak ada seorang pun pemimpin di kalangan mereka yang sanggup menggalas kesemua janji-janji yang terlakar di dalamnya.
“Ini menunjukkan mereka sendiri masih teraba-raba untuk menentukan hala tuju dan matlamat utama dalam penggabungan pembangkang sebagai satu pakatan sebagaimana idealogi dan agenda utama antara Pas, DAP dan PKR tidak selari,” katanya.
Persoalan berkaitan siapa Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang menang dalam PRU ke-13 masih tidak dijawab sebaliknya alasan yang diberi kononnya akan ada elemen kejutan kerana pakatan itu telah memilih calon dan bakal mengumumkannya apabila tiba masa yang sesuai.
“Tidak ada apa yang perlu dikejutkan berkaitan kepimpinan dalam pakatan pembangkang kerana rakyat telah kenal semuanya, tahu nilai kepimpinan mereka dan kononnya ada kejutan hanyalah sandiwara untuk menutup persoalan rakyat.
“Sehingga ke hari ini kita tidak melihat mana-mana pemimpin pun yang layak untuk menerajui kepimpinan tertinggi negara walaupun PKR, Pas dan DAP telah mentadbir empat negeri sepanjang penggal ini tetapi tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan atau dijadikan sebagai kayu ukuran bagi meletakkan mereka sebagai bakal Perdana Menteri.”
Tegas beliau lagi, kewujudan manifesto adalah berpaksikan kepada kewibawaan pentadbirnya tetapi apa yang ditunjukkan oleh pakatan pembangkang jelas menimbulkan kekeliruan lantaran ia dilaksanakan tanpa ‘tuan’.
Manifesto pakatan pembangkang yang bertemakan ‘Pakatan Harapan Rakyat’ dibentangkan bersama oleh Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, Ahli jawatankuasa Pas Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Naib Presiden DAP M Kulasegaran.
“Keadaan tersebut tidak pernah berlaku dalam Barisan Nasional (BN) kerana kepribadian dan kebolehan seseorang Perdana Menteri itu adalah cermin kepada manifestonya. Kebiasaannya manifesto BN akan diumumkan oleh bakal Perdana Menteri iaitu Pengerusi BN dengan sokongan penuh semua anggota kompenan parti di dalamnya.
“Persoalannya, kalau ketua tak ada macam mana manifesto terbabit mahu dilaksanakan kerana segala janji-janji akan dimuktamadkan oleh seorang ketua sebagai teraju dalam kepimpinnya tetapi malangnya ia tidak berlaku dalam pakatan pembangkang.” – MU
للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*