Pemimpin Adil Tidak Berdusta

KITA telah sampai kepada suatu zaman yang diisyaratkan oleh Nabi sebagai zaman sesuatu yang benar itu dianggap dusta dan sesuatu yang dusta itu dianggap benar. Kita selalu bacakan hadis ini untuk mengingatkan diri saya sendiri dan kita semua, di mana Nabi SAW bersabda maksudnya, “Sesungguhnya akan datang pada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan, seorang pembohong dikatakan benar dan seorang yang jujur dianggap berbohong, seorang pengkhianat dikatakan amanah dan seseorang yang amanah dianggap khianat…” (Musnad Imam Ahmad)

Pembohong bercakap pada hari ini; mengulas tentang agama, politik semasa, ekonomi dan urusan negara sesuka hatinya. Dalam ilmu mustolahul hadis, orang yang berbohong tidak dianggap adil.
Betapa rincinya pengertian adil itu sehingga orang yang dituduh sebagai pembohong pun tidak dikategorikan sebagai adil. Jika diteliti takrifan adil ini daripada kaedah bagaimana ulama hadis menilai kedudukan riwayat sesuatu hadis, antara syarat untuk memastikan hadis itu sahih, perawinya mestilah bersifat adil. Kita bawakan takrifan ini sebagai muhasabah atau introspeksi. Kita semua adalah orang yang hendak membawa agama dan penyambung generasi yang membawa agama. Jadi di manakah keadilan kita?
Sekarang kita bercakap mungkin senang. Kita tidak terlibat dalam urusan pentadbiran negara. Kita mungkin bermuamalah dan berurusan dengan dua atau tiga orang sahaja, bukan ribuan atau 27 juta rakyat di dalam negara ini. Kita tidak berkomunikasi dengan puluhan ribu masalah, baru ada satu masalah kita sudah pening.
Bagaimana dengan masalah di luar sana, contohnya isu banjir – pemimpin perlu fikirkan tentang ratusan dan mungkin ribuan rakyat yang menghadapi masalah. Pemimpin perlu berdepan dengan rakyat yang memerlukan dan juga rakyat yang berlebihan yakni sengaja mengambil kesempatan. Ada orang tidak layak dapat zakat, tetapi dia meminta juga dan memalsukan identitinya.
Sebagai rakyat biasa mungkin kita tidak hadapi isu besar dan kritikal, kita cuma berhadapan satu isu iaitu tentang kehidupan kita. Tetapi apabila seseorang itu duduk sebagai pemimpin, dia berhadapan dengan lebih ramai orang dan beragam kerenah.
Siapa yang hendak berhadapan dengan kegagalan pelajar dalam universiti? Kita yang mendapat pointer 3.7 telah berjaya, selesai masalah kita. Tetapi siapa yang hendak menjawab apabila ada 10 pelajar yang tidak berjaya atau gagal? Sebab itu saya membawakan semua ini agar kita memikirkan tugas dan tanggungjawab kita masing-masing; apa yang perlu kita buat? Kita perlu membawa agama dan ilmu. Antara karakter penting orang yang membawa agama adalah amanah.
Maka semestinya kita menganalisis maklumat yang kita peroleh, khususnya apabila berkomunikasi saban hari dengan media sosial. Kita mendapat maklumat lalu kita tweet, cepat ia tersebar. Apakah kita menganalisis maklumat yang kita dapat sahih atau palsu? Kita tag dan share maklumat dengan orang di Facebook, apakah kita telah mengenal pasti maklumat tersebut benar atau tidak. Ini semua adalah amanah, jangan dibuat main.
Apabila kita mengatakan ini adalah amanah, kita kena ingat hadis-hadis Nabi SAW tentang ancaman ALLAH SWT serta ancaman Nabi SAW terhadap orang yang berdusta ke atas orang lain. Sabda Nabi maksudnya, “Memadai seseorang itu dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar.” (riwayat Muslim)
Kita mendengar banyak cerita dan perkara, namun tidak semesti semuanya betul. Kita manusia, orang yang menyampaikan cerita itu juga manusia. Pelaku dalam cerita itu juga manusia. Apabila kita melakukan kesalahan kita memberikan takwilan dan alasan, tidakkah juga orang yang digambarkan berita tentangnya di dalam media ini juga mempunyai takwilan untuk mempertahankan dirinya? Mengapa kita tidak memberikan ruang kepadanya untuk mempertahankan diri?
ALLAH memerintahkan apabila datang kepada kita orang yang membawa sesuatu berita hendaklah kita tabayyun yakni menyemak dan memeriksa dengan teliti. Ini barulah dikategorikan sebagai orang yang membawa ilmu. Jika tidak, kita tergolong dalam golongan yang Nabi sebut membawa syahaadatu az-zuur yakni persaksian palsu, antara tujuh golongan yang Nabi katakan akan ditimpakan azab yang sangat pedih.
Justeru hati-hati menilai berita dan menilai mereka yang akan kita serahkan sesuatu amanah.


Syok???Nak baca lagi ada di : http://ilmuanmalaysia.com

للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*