Pengundi Tidak Dikenalpasti

Disebalik kebimbangan Selangor tentang 28 per peratus pengundi baru di negeri Pakatan Rakyat (PR) itu berkemungkinan “pengundi hantu”, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetap dengan pendirian tidak boleh menghalang mereka yang berdaftar oleh kerana mereka mempunyai hak sah untuk membuang undi dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang. 

“Dibawah undang-undang, mereka adalah pemilih berdaftar yang sah di Selangor dan mereka boleh mengundi di Selangor, tidak kisahlah mahu panggil mereka ‘pengundi hantu’ atau tidak, mereka berdaftar. 

“Mereka boleh mengundi di Selangor semasa hari pilihan raya,” kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof kepada The Malaysian Insider melalui telefon semalam. 

Pengerusi suruhanjaya tersebut mengulas laporan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Jumaat lepas -menunjukkan satu kajian dijalankan baru-baru ini yang menyatakan negeri itu dapat mengesan sebanyak 134,675 daripada 497,084 pengundi baru berdaftar bagi suku keempat tahun lepas. 

Untuk pengundi yang Selangor dakwa tidak dapat dikesan, walaupun tidak dapat dikenal pasti “bukan bermakna mereka tidak boleh mengundi sama sekali”, kata Abdul Aziz. 

Beliau juga berkata bahawa SPR menentukan tempat pengundi seseorang berdasarkan alamat dinyatakan dalam kad pengenalan beliau (IC) dan bukan mengikut tempat kediaman semasa pengundi, yang boleh menjadi antara kesukaran dihadapi negeri tersebut dalam percubaan untuk mengesan pengundi berdaftar. 

“Masalahnya adalah mereka tidak pernah tinggal [tetap] di alamat itu,” katanya, merujuk kepada alamat yang dicatatkan dalam IC pengundi. 

Abdul Aziz berkata terdapat pengundi yang bekerja secara kontrak dan dipaksa untuk berpindah dengan kerap kerana sifat kerja mereka. 

Pengundi sebegitu, katanya, mempunyai alamat tetap tetapi hanya kembali sekali-sekala. 

Beliau juga menegaskan bahawa beliau bukan tidak pernah mendengar kumpulan besar pengundi berdaftar, termasuk keseluruhan keluarga, menggunakan alamat sama bagi saudara atau rakan, “kesenangan posmen” kerana mereka tinggal di kawasan pedalaman atau bandar-bandar yang tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa dan oleh itu tidak mempunyai nombor rumah betul atau pun nama-nama jalan. 

Seluruh kampung boleh berkongsi alamat tunggal, tegas beliau, sambil menambah bahawa kes-kes seperti ini menyukarkan untuk mengesan pengundi. 

“Terdapat juga kemungkinan mereka ini menggunakan alamat orang lain kerana tidak memiliki alamat sendiri kerana tinggal di kawasan setinggan, tidak memiliki alamat… kadangkala mereka gunakan alamat kedai kopi, kedai basikal, alamat surau dan lain-lain,” kata Abdul Aziz. 

Pengerusi suruhanjaya itu berkata SPR akan memeriksa balas dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), yang bertanggungjawab mengeluarkan IC — atau dipanggil MyKad – untuk mengesahkan identiti warganegara dan rekod mereka adalah sahih. 

“Jika JPN kata ya, jadi kami akan daftarkan alamat itu,” katanya. 

Beliau menambah bahawa SPR memberikan tempoh dua minggu untuk sebarang bantahan direkodkan. 

“Jika tiada bantahan, kami akan gazet nama itu. Jika ada, kami akan buat inkuiri awam,” katanya. 

Abdul Aziz berkata SPR berulang kali menasihatkan semua pengundi berdaftar untuk memeriksa dan memastikan butiran pendaftaran pengundian mereka – nama, alamat dan butir-butir lain – direkodkan dengan betul, dan memberitahu SPR jika terdapat sebarang kesilapan. 

Beliau menegaskan bahawa di bawah undang-undang, SPR hanya boleh menukar alamat mengundi jika pengundi membuat permintaan. 

“SPR tidak boleh menukar alamat rakyat dengan sesuka hati,” katanya. 

Beliau berkata pengundi kadang-kadang mengubah alamat mereka di JPN tetapi gagal memaklumkan kepada SPR — yang menyebabkan kritikan bahawa daftar pemilih bukan yang terkini. 

Salah satu faktor menyebabkan kelewatan adalah JPN tidak dikehendaki oleh undang-undang untuk memaklumkan kepada SPR perubahan dalam status pendaftaran pengundi. 

SPR sering dikritik oleh pemantau pilihan raya Bersih 2.0 dan ahli politik pembangkang kerana dikatakan gagal untuk membersihkan daftar pemilih daripada pengundi yang meragukan. 

“SPR hanya benar-benar boleh membersihkan daftar pemilih dengan bantuan pengundi dan rakyat Malaysia,” kata Abdul Aziz. Pengundi tidak dikenalpasti” masih mempunyai hak mengundi, kata pengerusi SPR 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*