Polis Moden Yang Membanggakan

Saya sentiasa kagum dengan semangat warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama ini. Membesar di rumah bersama ayahanda saya, Allahyarham Tun Abdul Razak, sentiasa membuatkan saya sedar dan hargai akan perjuangan mereka dalam mempertahankan keamanan negara. Sejak zaman darurat sehinggalah kepada insiden 13 Mei, mereka sentiasa menjadi benteng keselamatan kepada kita semua.

Sempena Hari Polis semalam, kita sekali lagi bangga melihat semangat juang mereka yang bertugas semasa Ops Daulat. Kita juga kagum dengan keberanian lapan anggota serta pegawai PDRM yang sanggup menggadaikan nyawa mereka demi mempertahankan kedaulatan negara. Saya harap, perjuangan mereka ini sentiasa dikenang oleh setiap rakya. Bagi meneruskan perjuangan mereka, saya telah mengumumkan penubuhan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) supaya kestabilan dan keselamatan di Sabah terus dipelihara. Menerusi inisiatif ini, Kerajaan juga akan pastikan proses pilihan raya yang adil dan bersih tidak digugat di kawasan terbabit.

Kita juga patut berbangga dengan pencapaian semasa PDRM dalam melakukan kerja pencegahan jenayah. Kadar jenayah di negara ini telah menurun sebanyak 27% sejak tiga tahun kebelakangan ini. Bagaimanapun, saya berpendapat, masih banyak lagi yang perlu dilakukan bagi memastikan kadar jenayah di Malaysia terus menurun. Untuk itu, PDRM telah melakukan pelbagai transformasi antaranya dengan memperkenalkan perkhidmatan komuniti polis dengan tahap profesionalisme dan integriti yang tinggi. Sudah pasti pelbagai transformasi yang diperkenalkan itu tidak boleh membawa perubahan dalam sekelip mata, ia memerlukan masa serta fokus untuk melakukan penambahbaikan terhadap pasukan polis.

PDRM akan sentiasa bekerjasama dengan rakyat untuk mencapai matlamat kita bersama bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang selamat dan bahagia menerusi pelbagai perubahan serta inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional. Saya harap, setiap apa yang dirancang untuk masa depan negara dapat dicapai dengan sokongan terus menerus daripada anda semua.- 1M

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*