Portal Fitnah UMNO Perak

 

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lenggong  Mohamad Hamidi Baharuddin membidas portal Perak Today yang menyiarkan berita palsu (artikel berkaitan telah dimuat naik dilaman Facebook portal tersebut) dikala negara sedang dilanda dengan pandemik COVID-19.

Justeru itu beliau menyeru orang ramai agar tidak mudah mempercayai khabar angin dan fitnah yang tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat Malaysia yang kini majoritinya terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April 2020.

“Saya menzahirkan rasa amat terkilan dengan kenyataan sebuah portal berita, Perak Today yang menuduh UMNO telah menjadi pendesak kepada YAB Menteri Besar Perak berkenaan dengan jawatan-jawatan di dalam pihak Majlis Berkuasa Tempatan dan juga Majlis Pengurusan Komuniti Kampung. Seharusnya, sebagai sebuah Portal Berita, Perak Today tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang berunsurkan fitnah dan boleh mengganggu gugat keamanan dan kestabilan politik di negeri Perak.” Ujar beliau di Facebook peribadinya

Tambah Hamidi, apa yang dilakukan oleh Perak Today adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan berunsur fitnah.

“Saya melihat kenyataan ini lebih kepada satu penulisan berunsur fitnah dan seolah-olah berniat jahat serta mampu menggangu keharmonian dan kerjasama erat di antara parti-parti politik di dalam kerajaan Negeri Perak sekarang.”

“Sebagai sebuah portal berita, adalah lebih penting bagi Perak Today bersama-sama membantu kerajaan negeri dalam memutuskan rantaian Wabak Covid-19 berbanding cuba melaga-lagakan kepimpinan negeri dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak dapat ditentu sahkan kebenarannya.”

Terdahulu, pada 31 Mac 2020 yang lalu. Tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Istana Kinta, Ipoh.

Mereka adalah ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad (UMNO); ADUN Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (UMNO); ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya (UMNO).

Selain itu, ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin (PAS); ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria (PAS); ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari (BERSATU) dan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi (BERSATU).

“Pada masa kini, semua pihak termasuk Exco-exco kerajaan negeri yang baru dilantik sedang berusaha keras membantu YAB Menteri Besar dalam memastikan seluruh Rakyat Perak dapat menempuhi waktu-waktu sukar demi kelangsungan kehidupan dan ekonomi mereka. Diharap, Perak Today tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat atau fitnah kepada kerajaan negeri lebih-lebih lagi kepada parti UMNO. Janganlah mempertikaikan kebijaksanaan YAB Menteri Besar Perak dalam mentadbir kerajaan negeri dan sebagai Rakyat Perak, kita seharusnya bersama-sama berusaha membantu meringankan beban kerajaan dan rakyat menempuhi detik sukar sekarang ini.” Tambah beliau lagi.

Rakyat Malaysia seharusnya berwaspada akan berita berita palsu dan fitnah seperti ini, Kerana perbuatan fitnah ini akan menatijahkan pelbagai kesan buruk dan membawa kerosakan yang amat dahsyat ke atas masyarakat dan negara. – Daengselili.net