PRN Sarawak : 39 Peratus Telah Keluar Mengudi

Jumlah pengundi biasa yang telah mengundi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) sehingga jam 12 tengah hari pada Sabtu adalah sebanyak 39 peratus, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Seramai 1,213,769 pengundi biasa daripada sejumlah 1,252,014 pemilih berdaftar di PRN ini mula mengundi di 1,866 pusat mengundi di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri setelah ia dibuka jam 7.30 pagi.

Beberapa pusat mengundi dijangka ditutup secara berperingkat mulai tengah hari ini sebelum proses pengundian berakhir pada jam 5 petang.

Pada 14 Disember lalu, sejumlah 18,141 daripada 20,360 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka manakala 17,885 lagi mengundi melalui pos.

PRN Sarawak kali ini menyaksikan 13 pertandingan tiga penjuru, 33 perlawanan empat penjuru, 24 lima penjuru, tujuh pertembungan enam penjuru, satu persaingan lapan penjuru dan empat satu lawan satu.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) meletakkan 82 calon diikuti Parti Bumi Kenyalang (PBK) (73), Parti Sarawak Bersatu (PSB) (70), Parti Keadilan Rakyat (PKR) (28), DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) (15), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) (11), Parti Amanah Negara (Amanah) (lapan), Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) (lima) dan Pas (1).

Tiga puluh calon Bebas turut bertanding pada PRN ini. – Bernama