PRN Sarawak : Abang Johari Selesai Mengundi

Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi bagi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak di Kompleks Sukan Satok pada Sabtu.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu tiba di pusat mengundi bersama isterinya Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang pada jam 10 pagi dan selesai menunaikan tanggungjawab masing-masing kira-kira 15 minit kemudian.

Abang Johari merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok namun kini bertukar ke DUN Gedong.

Kompleks Sukan Satok merupakan antara pusat mengundi bagi DUN Satok pada PRN12 Sarawak.

DUN Satok, yang mempunyai 14,314 pemilih berdaftar, menyaksikan pertembungan antara calon GPS Datuk Ibrahim Baki, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Nor Irwan Ahmat Nor dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Awang Badele Awang Ali.

Sebelum itu, Ibrahim turut mengundi di Sekolah Kebangsaan Rakyat, Jalan Haji Bolhassan, Kampung No 3 di sini. – Bernama