PRN Sarawak : Beri Mandat Kepada GPS – Datuk Rosey Yunus

Berikan mandat sepenuhnya kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah terbukti membela nasib rakyat dan pilihlah GPS pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) pada hari mengundi 18 Disember depan.

Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak merupakan penyandang dan calon GPS bagi DUN Bekenu Datuk Rosey Yunus berkata demikian dalam lawatan ke Rumah Enju Nyaling di Sebatu Niah semalam.

Katanya, setiap satu undi dari penduduk kawasan luar bandar, kampung dan rumah-rumah panjang sangat berharga yang membawa pembangunan dan kemajuan kawasan masing-masing.

“Jangan mudah mendengar hasutan dan janji manis pihak pembangkang kerana selepas tamat PRN nanti mereka tidak akan berada di kawasan kita.

“Setiap pembangunan dan perubahan di kawasan, kita yang kita nikmati hari ini adalah hasil Kerajaan Sarawak bersama mandat rakyat sendiri yang telah menyokong berdiri teguh.

“Upama hari ini rakyat membantu kerajaan dan esok lusa kerajaan pula yang membantu rakyat, lebih cantik sokongan rakyat maka lebih mudah juga dibalas oleh kerajaan kepada kita,” jelasnya.

Sementara itu, Tuai Rumah (TR) Enju Nyaling Sebatu Skim Rancangan Sepupok Niah ketika ditemui Utusan Sarawak bersama rombongan Datuk Rosey berkata, penduduk di rumah panjang beliau berusaha memberi sokongan seratus peratus undi kepada GPS.

“Lihatlah sendiri di sekitar rumah panjang ini bahawa tiada satu pun bendera terpacak daripada pihak pembangkang.

“Kemajuan kemudahan di kawasan kami iaitu jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik sudah ada, ini semua hasil daripada kerajaan Sarawak,” katanya.

sumber