PRN Sarawak : Keluar Mengundi, Jangan Percaya Berita Palsu – Dr. Sim Kui Hian

Pengundi di Sarawak perlu keluar menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, Sabtu ini dan tidak menghiraukan berita palsu mengenai situasi COVID-19 di negeri itu.

Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, berkata penyebar berita palsu bukan golongan pakar kesihatan.

“Pada 18 Disember ini, keluarlah mengundi dengan yakin, usah hirau berita palsu yang disebarkan oleh mereka yang bukan pakar kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat penampilan maya pada majlis pelancaran Pelan Untuk Padungan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, yang bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri itu sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dr Sim berkata, Sarawak memberikan suntikan dos penggalak kepada orang ramai sejak Oktober dan berdasarkan pemodelan pakar tempatan, kes harian COVID-19 di Sarawak akan berada di bawah angka 50.

Katanya, kadar kematian juga akan berkurangan.

“Bagaimanapun, anda dan saya perlu memainkan peranan dengan memakai pelitup muka. Laksanakan kewajipan anda setiap lima tahun sebagai rakyat di Sarawak,” katanya.

Sarawak mencatat 47 kes baharu COVID-19 semalam yang kebanyakannya kes bergejala ringan kecuali satu kes membabitkan pneumonia.

Dr Sim ialah Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), satu daripada empat parti komponen GPS.

Beliau akan berdepan persaingan empat penjuru bagi mempertahan kerusi DUN Batu Kawah dan ditentang oleh Dr Kelvin Yii Lee Wuen daripada DAP, Chai Kueh Khun daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) serta Fong Pau Teck daripada Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi).

 

sumber