PRN SARAWAK : KERAJAAN SARAWAK TETAP TERUSKAN BINA JAMBATAN IGAN

Projek Jambatan Batang Igan yang menghubungkan rangkaian jalan pesisir pantai di Sarawak dan kini sedang dalam pembinaan, dijadualkan siap pada tahun 2024. Projek bernilai RM285 juta itu kini dilaksanakan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sarawak yang mengambilalih projek itu selepas ianya yang diluluskan Kerajaan Barisan Nasional terdahulu, dibatalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

Kerajaan Persekutuan tidak pernah menangguhkan projek berkenaan yang sepatutnya bermula pada 2018, namun apabila berlaku perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 , ianya tidak diteruskan oleh Kerajaan PH, malah PH turut membatalkan dua lagi projek jambatan utama di pesisir Sarawak iaitu Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Batang Rambungan. Kedua-dua jambatan ini juga diteruskan pembinaannya oleh Kerajaan Negeri Sarawak.

Merujuk kepada Projek Jambatan Batang Igan, ianya telah diluluskan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE) pada 23 Februari 2016 setelah surat rayuan YB Menteri Kerja Raya bertarikh 24 November 2015 diluluskan oleh YAB Perdana Menteri.

IIustrasi Jambatan Igam

Satu Makmal Pengurusan Nilai anjuran UPE diadakan pada 18 – 21 Julai 2016 di Kuching; dan semasa Makmal tersebut wakil daripada Pejabat Daerah Matu telah membangkitkan permintaan penduduk yang mahu tapak dipindahkan dari tapak asal ke tapak berhampiran jeti feri Kg Igan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah mendapat kelulusan tapak jambatan lebih awal lagi daripada Sarawak State Planning Aurhority (SPA) untuk membina jambatan tersebut lebih kurang 7 – 8 km ke hulu Kg Igan dan kerja-kerja awalan termasuk rekabentuk telah punsiap pada 2016.

Walau bagaimanapun, pemindahan tapak melewatkan pelaksanaan projek kerana kerja-kerja awalan seperti ukur tanah dan ukur hidrografik, penyiasatan tanah, rekabentuk struktur jambatan, dan lain-lain perlu dibuat semula dengan ia mengambil masa sekurang-kurangnya setahun. Oleh itu projek yang asalnya dijangka bermula pada 2017 hanya dapat dimulakan pada 2018.

Malah untuk rekod panggilan tender juga sudah dibuat pada 20 September 2017 dan tender ditutup pada 18 Disember 2017 dengan Kementerian Kewangan telahpun memberi kelulusan kepada syarikat kontraktor pada 2 April 2018.

Malangnya projek berkenaan telah diputuskan untuk ditangguh oleh Kementerian Kewangan di bawah Kerajaan PH pada 3 Ogos 2018. Pada awal 2019, Kerajaan PH memutuskan untuk tidak meneruskan projek 3 jambatan – Jambatan Batang Igan, Batang Lupar dan Rambungan, yang kemudiannya diambilalih pelaksanaannya oleh Kerajaan Negeri demi memastikan rakyat pesisir Sarawak tidak terpinggir daripada arus perdana pembangunan.

SUMBER : KEMENTERIAN KERJARAYA (10 DIS 2021)