PRN Sarawak : ‘Sarawak Keluar Malaysia’ Ideologi Melampau – Abang Johari

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari menyelar pihak – pihak tertentu yang berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak dengan membawa ideologi melampau iaitu mahu ‘membawa keluar’ Sarawak yang membentuk kewujudan sebuah negara berdaulat, Malaysia.

Ujar Abang Johari, dalam soal ini, Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertindak lebih rasional berdasarkan peruntukan undang – undang sehingga pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan dengan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat semalam.

Kata Abang Johari, kerajaan negeri di bawah pentadbiran beliau juga ‘meminta‘ Kerajaan Persekutuan untuk mempertahankan hak Sarawak di dalam Perjanjian Malaysia (MA63) dan Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu.

” Jangan seperti orang lain yang mahu merdeka dan terus minta keluar dari Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Penghulu Seribu, Nanga Tada di sini hari ini.

Sebelum ini, terdapat parti politik yang bertanding pada PRN Ke-12 Sarawak menaikkan poster mengandungi gambar ‘gunting’ yang diletakkan dalam peta Malaysia dengan kedudukan gunting itu di Laut China Selatan iaitu simbolik kepada gerakan menuntut kemerdekaan.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menurunkan poster berkenaan.

Berhubung pembangunan di Ngemah dan Machan, Abang Johari berkata, beliau telah menerima permohonan daripada Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang supaya ditubuhkan Agensi Pembangunan Wilayah di sini.

“Saya bersetuju dengan permintaan beliau. Antara yang akan diberi tumpuan di sini ialah peningkatan pertanian, teknologi maklumat selain inisiatif MySBPRN,” katanya.

 

sumber