PRN Sarawak : Sarawak Mampu Berdiri Sendiri – Abang Johari

PEMBINAAN jalan pesisir adalah berita gembira bagi seluruh rakyat di negeri ini terutamanya penduduk di kawasan pesisir yang sudah lama mengharapkan kemudahan jalan raya yang lebih selesa dan baik. Kemudiannya, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melaksanakan pula pembinaan projek Jalan Trunk Kedua (STR) dari Sebuyau ke Lingga, Samarahan dan Sri Aman dijangka siap pada Mei 2025.

Ketika rakyat disajikan dengan kegembiraan pelaksanaan jalan pesisir dan STR tersebut, pada 2018, Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) telah menangguh serta membatalkan pembinaan beberapa jambatan
di sepanjang jalan pesisir tersebut yang telah diluluskan pembinaan oleh kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN).

Jambatan berkenaan ialah jambatan Batang Rambungan, Kuching; jambatan Kuala Kemena, Bintulu; jambatan Batang Lassa, Mukah; jambatan Batang Saribas, Betong; jambatan Batang Krian,Betong dan jambatan Batang Paloh, Mukah.

Namun rakyat Bumi Kenyalang menarik nafas lega apabila Abang Johari mengumumkan Kerajaan Sarawak akan meneruskan pembinaan kesemua projek jambatan tersebut ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Sungai Maong ke Segedup.

“Kita ada dana. Kita akan teruskan pembinaan jambatan-jambatan ini menggunakan wang kita sendiri. “Kita juga tidak akan meminta kerajaan persekutuan mengkaji semula projek-projek ini kerana ia hanya akan melambatkan ia disiapkan.”

LIMA JAMBATAN BAHARU INISIATIF ABANG JO

Keputusan Ketua Menteri untuk meneruskan pembinaan jambatan berkenaan dengan dana sendiri Kerajaan Sarawak, bukan sahaja bukti kepada kemampuan Sarawak untuk ‘berdiri sendiri’,malah ia juga bukti kerajaan pimpinan Abang Jo berpandangan jauh dan sentiasa mengutamakan rakyat.

 

Pada 8 September 2019, Ketua Menteri, Abang Johari telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Jambatan Muara Lassa di Daro, Mukah.Dalam ucapannya, Abang Johari berkata, pembinaan jambatan yang menjadi pelengkap laluan pesisir di Sarawak bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat tetapi juga memudahkan kerajaan membangunkan kawasan pesisir. “Kerajaan Sarawak memfokuskan usaha membina jambatan dan jalan raya bagi meningkatkan sosial ekonomi penduduk yang tinggal di kawasan pesisir.

“Melalui usaha ini, perhubungan rakyat bukan sahaja lebih lancar tetapi juga memudahkan mereka untuk membawa keluar hasil pertanian dan perikanan.“Jambatan Muara Lassa misalnya, bukan sekadar pelengkap rangkaian jalan pesisir tetapi juga bakal menjadi satu lagi ikon pembangunan sekali gus mengakhiri penantian rakyat sejak sekian lama.”

Kos bagi pembinaan Jambatan Muara Lassa berjumlah RM597.58 juta, sepanjang 2.43 kilometer (km) dan merupakan sebahagian daripada rangkaian jalan pesisir yang dibina dengan kos keseluruhan RM11 bilion.

sumber