PRN Sarawak : Tun Abdul Taib Mahmud Selesai Membuang Undi

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud telah mengundi pada Pilihan Raya Negeri ke-12 di Kompleks Sukan Satok di sini kira-kira jam 11.40 pagi Sabtu.

Ketibaan beliau di kompleks itu, yang menjadi antara pusat mengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, diiringi isterinya Toh Puan Ragad Kurdi Taib.

Sebelum itu, Ragad menunaikan tanggungjawabnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abang Haji Openg, Petra Jaya untuk memilih wakil rakyat bagi kawasan DUN Demak Laut.

DUN Satok menyaksikan pertembungan antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Ibrahim Baki, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Nor Irwan Ahmat Nor dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Awang Badele Awang Ali.

Kerusi itu mempunyai 14,314 pemilih berdaftar.

Antara kenamaan yang turut mengundi di Kompleks Sukan Satok ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Hajar Taib.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail turut hadir meninjau proses pengundian di lokasi sama. – Bernama