PRN Sarawak : UNIFOR Amar Douglas Embas Nafi Tuduhan Liar Baru Bian

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Embas membidas kenyataan pemimpin Parti Sarawak Bersatu (PSB) Baru Bian yang mendakwa geran dari Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) adalah rasuah.

Menurutnya, UNIFOR yang sudah ditubuhkan pada penghujung tahun 2016 adalah untuk membantu agama-agama lain seperti gereja, kuil, tokong dan sebagainya membaik pulih tempat ibadat masing-masing.

“Ini bukan rasuah, macam mana Baru boleh mengatakannya rasuah. Kita mula menyalurkan dana untuk UNIFOR sejak 2017 lagi dimana dari tahun itu hingga kini kerajaan negeri sudah memperuntukkan dana sebanyak RM165 juta untuk membantu semua rumah ibadat bukan Islam di negeri ini.

“Ada seorang bekas Bishop mengatakan setelah dia menyertai PSB, dana UNIFOR terus disalurkan kepada gereja dan sekolah-sekolah mubaligh.

“Kenyataan mereka ini adalah satu pembohongan. Tidak baik kita yang pernah menjawat jawatan bercakap perkara yang tidak betul mengenai kerajaan,” katanya yang merupakan Menteri bertanggungjawab terhadap UNIFOR.

Uggah berkata demikian semasa merasmikan Program AgriCOP Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) N.53 Bawang Assan Daerah Sibu di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Penolong Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Ronald Ripid.

Beliau berkata, dengan wujudnya UNIFOR ia menunjukkan kerajaan negeri ini yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg komited membantu semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Jelas calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi DUN Bukit Saban itu, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai pelan pembangunan untuk rakyat di negeri ini.

“Sekarang adalah musim Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12), jadi saya merayu rakyat di DUN Bawang Assan menyokong calon kita iaitu Senator Robert Lau.

“Bawang Assan banyak ketinggalan disebabkan wakilnya kini berada di dalam pembangkang. Saya tidak mahu Bawang Assan terus ketinggalan,” tegasnya.

Beliau turut melahirkan rasa simpatinya terhadap masyarakat Dayak yang ketinggalan dari segi pembangunan disebabkan tersalah pilih.

Tambahnya, rakyat tidak membantu membawa pembangunan kepada diri sendiri atau rakyat kerana mengundi calon yang tidak tepat.

“Kalau pembangunan tidak sampai kita tidak boleh salahkan kerajaan kerana ia disebabkan diri sendiri yang mengundi calon yang bukan dari kerajaan. Undi calon kerajaan untuk dijaminkan pembangunan yang berterusan.

“Saya sudah memberi peringatan kepada Robert Lau agar sentiasa prihatin dan menjaga Iban di Bawang Assan sekiranya beliau menang kelak. Kalau beliau gagal kita tahu apa nak buat kelak,” tegasnya lagi.

sumber