Projek IC : Tun Dedah Anwar Terlibat Sama

Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menolak penglibatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu pemberian kad pengenalan dan kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah.

DR. MAHATHIR MOHAMAD menerima cenderamata daripada Anwar
Bekas Perdana Menteri berkata, perbuatan Anwar itu di luar pengetahuannya kerana tidak pernah memberi arahan tersebut.
“Projek IC (kad pengenalan) itu boleh berlaku tanpa pengetahuan dan arahan daripada atasan.
“Anwar ketika itu memang mempunyai kuasa tetapi apa yang berlaku tidak semestinya atas arahan.
“Beliau (Anwar) selalu membuat perkara yang bertentangan dengan arahan. Dan, kadangkala perbuatannya lebih daripada arahan yang dikeluarkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis makan tengah hari anjuran Institut Kepimpinan Strategik Asia sempena ulang tahun ke-20 badan pemikir itu, di sini hari ini.
Dr. Mahathir sebelum ini dituduh memberikan kad pengenalan dan kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah sebagai ganti undi.
Ditanya adakah beliau mempunyai bukti tentang perkara tersebut katanya; “Kadangkala kita tahu apa yang berlaku cuma tidak ada bukti untuk ditunjukkan.”
Katanya, beliau bersedia untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang tanpa izin di Sabah jika dipanggil.
Sementara itu, beliau berkata, Malaysia tidak perlu lagi bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI) kerana perbelanjaan domestik negara cukup kukuh.
Dr. Mahathir berkata, meskipun begitu, negara amat bertuah kerana pelabur asing terus-menerus mengintai peluang untuk menjalankan perniagaan di sini.
Menurut beliau, yang menariknya, pelabur mengintai masuk ke Malaysia bukan sekadar membuat pelaburan berjuta-juta sebaliknya berbilion-bilion.
“Ini menunjukkan pelabur asing cukup berkeyakinan dengan ekonomi dan kestabilan negara ini,” katanya.
Katanya, keupayaan negara mencatatkan kadar keluaran dalam negara kasar melebihi lima peratus sangat membanggakan berbanding pertumbuhan Amerika Syarikat iaitu tidak sampai satu peratus dan negara Eropah kini dalam kemelesetan ekonomi.
“Jika fakta itu tidak cukup meyakinkan, kita boleh melihat banyak kren di tengah-tengah bandar di seluruh negara, sebagai tanda projek pembinaan giat dijalankan,” katanya.
“Hotel mahupun kondominium yang berada di tengah-tengah bandar pula terang-benderang, menunjukkan bilik mereka ditempah dan kediaman pula berpenghuni.
“Apabila kediaman berpenghuni, ini membawa maksud pembelian rumah bukan untuk tujuan spekulator dan saya yakin Malaysia tidak berhadapan dengan masalah ini.
“Saya berpendapat pakar ekonomi boleh menjadikan teori ini sebagai pertunjuk bahawa ekonomi Malaysia cukup kukuh dan berdaya saing,” katanya sambil disambut tepukan daripada lebih 2,000 hadirin.
Beliau yakin pertumbuhan Malaysia akan terus konsisten dan berada pada tahap tertinggi sekiranya negara berjaya mencapai sasaran 70 juta orang penduduk.
“Kalau kita mempunyai pasaran domestik besar, saya yakin pertumbuhan negara akan lebih pantas,” katanya. – SUMBER



للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*