Ramai Rakyat Terpesong Akidah

Keruntuhan jati diri yang berlaku di kalangan rakyat adalah berpunca daripada tindakan serta sikap segelintir pemimpin yang hanya mengutamakan kepentingan politik peribadi daripada keamanan serta kesejahteraan sesuatu negara bangsa.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata kekuatan serta keutuhan jati diri amat penting sama ada jati diri pada sendiri atau negara kerana mampu menghalang daripada dirosakkan oleh anasir-anasir luar yangs sentiasa ingin meruntuhkan sesuatu bangsa atau negara
“Setiap orang perlu ada jati diri, jati diri pada diri sendiri dan jati diri pada negara dan bangsa, jika kita ada jati diri kita tidak akan mudah terpengaruh atau dipengaruhi oleh orang lain yang sememangnya ingin melihat kepada kehancuran kita.
“Orang yang tidak punyai jati diri ini, ibarat seperti orang yang tidak ada pendirian, mereka ini mudah diperdaya dan terpedaya tanpa menyedari akibatnya. Begitu juga pentingnya jati diri kepada negara dan bangsa yang harus ada pada setiap rakyat, jati diri ini mampu menjadi pendinding mempertahankan negara, bangsa dan agama daripada dirosakkan oleh orang lain,” katanya kepada UMNO-line.
Beliau berkata ketika diminta mengulas berhubung kurangnya semangat jati diri di kalangan rakyat terutamanya golongan muda sehingga mudah terpengaruh atau dipengaruhi oleh pihak lain sehingga menyebabkan mereka mudah dijajah.
Mohd Ali berkata, penjajahan ala baru bukanlah seperti zaman dahulu yang menyebabkan berlakunya perbalahan dan peperangan sehingga membabitkan ramai yang terkorban dan terpaksa melalui keperitan serta pelbagai masalah terutama apabila ingin membangunkan semula kemusnahan yang dialami sama ada fizikal mahu pun mental.
“Dulu, kalau hendak jajah tempat orang, mereka kena berperang, ramai yang mati (terkorban), harta benda banyak yang musnah, negara jadi huru hara. rakyat hidup susah sehingga terpaksa minta bantuan daripada orang lain.
“Sekarang masih ada yang berperang tetapi perang sesama sendiri, punca berbeza fahaman atau pendapat yang diracuni oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan mereka. Inilah penjajahan ala baru yang sedang berlaku sekarang.
“Kita lihat apa yang berlaku di beberapa negara, mereka berperang sesama sendiri, berperang sesama agama dan bangsa, apakah perkara ini seperti ini yang ingin kita lihat berlaku di negara kita,” katanya.
Menurutnya, penjajahan ala baru ialah menyerang minda atau pemikiran dengan membawa pelbagai dakyah, fitnah atau fahaman dengan niat untuk memecah belahkan perpaduan di kalangan rakyat terbabit.
“Ini yang penjajahan ala baru, tak perlu serang negara, serang minda rakyatnya, lepas tu mereka bergaduh sesama dan akhirnya orang luar ambil kesempatan terhadap apa yang berlaku.
“Sebab itu perlunya ada jati diri, jati diri, jati diri pada agama, bangsa dan negara supaya kita tidak mudah terpengaruh dengan apa jua yang cuba dilakukan oleh pihak asing yang sengaja ingin melihat perpecahan di kalangan kita.
“Mudah sahaja mereka untuk lakukan, mereka bangkit sesuatu itu yang boleh menyebabkan timbulnya perasaan tidak senang di kalangan rakyat, mereka mungkin gunakan isu agama atau kaum, kerana perkara ini amat sensitif di kalangan masyarakat.
“Apabila tiada persefahaman akhirnya berlakulah perbalahan sesama sendiri sehingga boleh meruntuhkan institusi kehidupan bermasyarakat,” katanya.
Berhubung perkembangan terkini yang berlaku di negara ini, Mohd Ali berkata ada segelintir pemimpin yang sememangnya sengaja membangkitkan sesuatu isu untuk kepentingan politik mereka supaya rakyat berbalah sesama sendiri.
“Sebab itu kita perlu ada jati diri, jati diri yang berasaskan perlembagaan negara kerana kita hidup berbilang kaum, apabila kita faham jati diri atau hak masing-masing maka tidak akan akan berlakunya perbalahan yang sememangnya telah ditetapkan oleh perlembagaan,” katanya.
Menurutnya, jika semua rakyat mempunyai jati diri yang berasaskan perlembagaan, sudah pasti tidak timbul masalah di kalangan rakyat kerana masing-masing memahami tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara yang mampu menolak apa sahaja yang cuba dilakukan oleh pihak luar yang ingin merosakkan kehidupan dan kesejahteraan rakyat.
 – UM
للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*