RM28 Juta Bantu Peladang Dan Penternak

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengumumkan peruntukan berjumlah RM28 juta sebagai sumbangan one-off iaitu sekali sahaja bagi membantu golongan peladang dan penternak di negara ini.

Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri sempena perasmian Menara LPP dan sambutan 40 tahun Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini, Isnin.
Peruntukan itu merupakan respons segera Najib sebagai memenuhi permintaan warga peladang dan penternak yang sebelum ini disifatkan ‘tertinggal’ berbanding warga petani dan nelayan yang menerima imbuhan seperti yang diumumkan oleh kerajaan.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pemberian bantuan kepada golongan nelayan termasuk bantuan sara hidup RM200 sebulan yang memanfaatkan 55,000 nelayan berdaftar.
Bagi membantu para petani pula, kerajaan meneruskan pemberian subsidi dan insentif pertanian sedia ada berjumlah RM2.4 bilion, selain buat julung kalinya, memperkenalkan Skim Perlindungan Takaful Padi.
Perkara itu disuarakan Pengerusi LPP Datuk Zainal Dahalan dalam ucapannya yang meminta insentif turut diberikan kepada golongan peladang dan penternak yang berjumlah 800,000 orang di seluruh negara.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.
Peruntukan itu dijangka disalurkan sebagai insentif kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) antaranya untuk merangkumi pembiayaan baja kimia, tong sawit, tong racun dan alat penyembur racun yang dianggar berjumlah RM20 juta.
Bakinya adalah bagi membiayai kursus-kursus lanjutan dan program untuk Kumpulan Kor Tani.Kumpulan Kor Tani yang ditubuhkan pada April 2011 sebagai kumpulan pewaris peladang dan penternak di negara ini kini mempunyai 6,000 peserta.
Terdahulu, Najib berkata kerajaan tidak pernah mengabaikan sektor pertanian kerana ia merupakan satu daripada sektor penting yang tidak boleh dibiarkan tanpa sebarang suntikan.
Malah, katanya di dalam Belanjawan 2013, sejumlah RM5.8 bilion disalurkan sebagai insentif untuk peladang, penternak dan nelayan untuk meningkatkan lagi keupayaan sektor berkenaan.
“Sektor pertanian harus menjadi sektor yang hidup dan tidak dilihat sebagai layu, jauh lagi mundur.
“Tetapi harus ada usaha untuk menjadikan sektor itu sebagai sektor yang moden dan dinamik yang harus menyumbang kepada pencapaian matlamat kita untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi,” katanya.
للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*