Sekretariat Anak Muda Selangor Bersuara!

Sekretariat Anak Muda Selangor (SERANG) hari ini mengakui anak muda di negeri Selangor berhadapan dengan masalah janji “manifesto” kerajaan pakatan Selangor di bawah pimpinan DAP, PKR dan Pas.

Pengerusinya, Budiman Mohd Zohdi berkata, masalah ini dikenali sebagai 4P iaitu perumahan, pekerjaan, pendidikan dan perniagaan.
“P yang pertama, ialah tiada perumahan disediakan untuk anak muda di Selangor terutamanya rumah kos rendah seperti yang dijanjikan manakala P berikutnya, kebanyakan anak muda di Selangor masih menganggur dan terpaksa pulang ke kampung kerana ketiadaan peluang pekerjaan di sini.
“P seterusnya ialah pendidikan di mana dua buah institusi pendidikan penting di Selangor iaitu Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan Universiti Industri Selangor (Unisel) tidak ditadbir dengan sempurna dan kredibilitinya diragui. Akhir sekali P keempat iaitu perniagaan, bantuan dan inisiatif perniagaan kepada belia dan wanita muda seperti yang dijanjikan seperti di dalam manifesti PRU12 yang lalu, tidak dilaksanakan,” ujarnya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Tambahnya, anak muda di negeri Selangor merasa tertipu dan kecewa kerana kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa `manifesto’ PRU12 yang lalu sebenarnya bukanlah satu janji.
“Tentunya bukan sedikit anak muda yang terpedaya dan tertipu dengan manifesto kosong yang bersifat janji manis ketika PRU yang lalu.
“Hari ini, anak muda di Selangor bangkit dan bertekad dengan mengambil inisiatif untuk turun bertemu rakyat bagi mendapatkan pandangan mereka dan berkongsi masalah yang dihadapi selain mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap masalah tersebut,” katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar.
Sehubungan dengan itu, tegas beliau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor juga akan bergerak ke seluruh negeri Selangor untuk tujuan tersebut.
“Kita akan bergerak bersama Majlis Belia Selangor yang mempunyai 28 badan gabungan serta 9 buah Majlis Belia Daerah dalam masa dua minggu mendekati orang muda di akar umbi dan hasil dari cadangan mereka akan dikumpulkan dan bakal dibentangkan kepada Barisan Nasional negeri Selangor sebagai cadangan manifesto pada PRU13 nanti,” tambahnya lagi. – Sumber

للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*