Shahrizat : Rakyat Mula Bosan!!

Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata rakyat kini dilihat semakin bosan dengan pelbagai karenah dan retorik yang dicetuskan parti pembangkang.

Beliau yang secara sinis berkata apa saja perkara yang dibangkitkan pihak pembangkang tidak ubah seperti satu ‘hiburan politik’.
“Rakyat dengar (isu yang dibangkitkan pembangkang) sebagai satu hiburan politik, tetapi akhirnya mereka (rakyat) akan memilih parti dan kerajaan yang akan membawa kepada pembelaan untuk masa hadapan yang boleh diberikan oleh Barisan Nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program sekampung Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga, Parlimen Indera Mahkota di sini hari ini.
Beliau berkata rakyat mahukan sebuah negara yang stabil dan bukannya sebuah negara yang porak-peranda seperti mana yang cuba dicetuskan parti pembangkang menerusi demonstrasi jalanan.
“Mereka (rakyat) juga (dilihat) tak minat dengan reformasi, maklum balas yang kita terima, rakyat mahu kepimpinan yang boleh membawa kestabilan kepada negara,” katanya.
Beliau berkata Wanita Umno juga kini dilandasan kukuh dan jentera pergerakan itu kini di peringkat fasa terakhir untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.
“Kita mempunyai kekuatan dalaman, kita tak mudah nak digentarkan, sebab kita berlandaskan kepada kebenaran dan kesucian perjuangan,” katanya.
Sementara itu dalam isu lain, Wanita Barisan Nasional turut merakamkan ucapan takziah kepada kedua ibu bapa William Yau Zhen Zhong, 6, yang ditemui mati di Pelabuhan Klang petang semalam selepas dilapor hilang pada 16 Jan lepas.
Selain berasa sedih dengan kejadian itu beliau turut mengingatkan semua pihak agar memberi keutamaan kepada aspek keselamatan.
William, anak kedua pasangan Goh Ying Ying, 28, dan Yau Kok Kang, 32, dilapor hilang di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya selepas dipercayai keluar daripada kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.

للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*