‘Singa Utara’ Gagal Mendaftarkan Dua Pemain Importnya

KUALA LUMPUR — Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Jumaat menafikan dakwaan bahawa dua pemain import baharu mereka telah dilarikan oleh ejen pemain berkenaan ke negara lain.

Sebaliknya, Setiausaha Kehormat PFA Dr Ammar Hassan berkata kedua-dua pemain berkenaan iaitu Emmanuel Okine dari Ghana dan Zakaria Charara dari Lubnan yang dibawa dari Kelantan, sedang menjalani latihan di bawah bimbingan bekas pengendali pasukan T-Team, Yunus Aliff bagi menghadapi Liga Perdana musim depan.
“Ini semua kesilapan teknikal kerana kita telah pun menyerahkan nama kedua-dua pemain berkenaan kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain import pada 6 Dis lepas.
“Sebelum ini, saya ada mendengar desas-desus bahawa ejen mereka telah mengadakan rundingan dengan salah sebuah kelab di Thailand namun saya difahamkan mereka gagal mencari kata sepakat,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM Datuk Hamidin Mohd Amin pada sidang media di Wisma FAM semalam, dilaporkan berkata bahawa pasukan ‘Singa Utara’ itu gagal mendaftarkan dua pemain import untuk saingan Liga Perdana musim depan kerana mendakwa mereka telah dilarikan oleh ejen terbabit ke negara lain. – BERNAMA