Subsidi akan dikurangkan, Kos menunaikan Haji RM22,900

Putrajaya akan mengurangkan subsidi Tabung Haji di masa depan bagi mengurangkan beban lembaga itu, kata menteri kepada Dewan Rakyat hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata langkah itu selaras dengan konsep “istito’ah”, dan konsep itu akan diperkenalkan pada masa depan bagi mengurangkan bantuan daripada TH.

Beliau berkata dalam tempoh 10 tahun lepas, TH membantu meringankan beban jemaah haji, walaupun orang Islam tahu dari sudut keperluan fekah, mereka hanya boleh pergi haji jika berkemampuan.

“Syarat melakukan haji adalah ada upaya kewangan. Kos hari ini adalah RM22,900. Kalau tak cukup maknanya tak mampu.

“Kita ambil ini sebagai perkiraan penting kerana kita tak boleh terus seperti ini. Kita akan memahamkan para jemaah di masa depan bahawa ibadah haji mesti dilakukan ikut kemampuan.”

Mujahid berkata langkah ini akan mengurangkan bebanan kos sebanyak RM400 juta yang ditanggung TH.

Beliau berkata selama ini ahli jemaah haji hanya membayar RM9,980 sahaja.

“Tak naik, tak turun tetapi setiap tahun kami sentiasa tanggung. Semakin meningkat kita punya tanggungan,” katanya.

Mujahid menjawab pernyataan Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) yang ingin tahu adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk mengkaji semula subsidi kepada jemaah haji.

Nizar juga bertanyakan adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk berbincang dengan kerajaan Arab Saudi bagi mengurangkan sebarang kos yang mempunyai kaitan langsung dengannya, bagi mengurangkan kos setiap ahli jemaah haji.