Ulama Tegur Pakatan Rakyat

SEPERTI selalu disebut pengkaji sejarah politik negara ini, walaupun Pas ditubuhkan di Pantai Barat tetapi ia berkembang pesat di Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu, kerana di sana terdapat banyak institusi pondok yang mengajar agama.


Sokongan tok guru pondok inilah yang ‘memberi nyawa’ pada saat-saat awal penubuhan Pas dan menarik minat rakyat untuk beralih menyokong parti itu.
Antara ulama pondok ini ialah Tuan Guru Haji Daud dari Pondok Meranti, Pasir Mas dan Tuan Guru Haji Hussein Rahimi dari Madrasah Al-Ahmadiah Bunut Payung di Kelantan serta Pondok Haji Shafie Sulong di Durian Guling, Marang, Terengganu.
Sokongan tok guru berkenaan telah dijadikan modal kempen pilihan raya Pas pada ketika itu. Salam dan pesanan tok guru menjadi modal untuk memenangi hati pengundi yang selalu percaya bahawa guru-guru mereka ialah orang baik.
Bagaimanapun, segala-galanya berubah selepas Pilihan Raya Umum 2008, apabila para tok guru yang selama ini menyokong Pas mula beralih arah dan membuat teguran keras bertujuan menyedarkan kepimpinan parti itu bahawa mereka tidak lagi berada di landasan yang betul.
Malangnya, teguran itu tidak disambut dengan hati yang terbuka oleh kepimpinan Pas. Cukup menyedihkan lagi apabila para tok guru ini dilabelkan sebagai ejen UMNO atau ulama upahan untuk merosakkan parti itu.
Sikap angkuh Pas ini menyebabkan ulama pondok melihat parti itu sudah tidak relevan untuk memperjuangkan Islam.Ia sekarang sama seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang dahagakan kuasa dan hanya tertumpu kepada cita-cita untuk ke Putrajaya.
Sebagai jalan terakhir untuk menyelamatkan Islam, ulama pondok ini menubuhkan Minda Pondok iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kemudiannya bersama-sama beberapa NGO Islam lain membuat pengisytiharan bahawa wajib mengundi UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta haram memberi undi kepada Pas, DAP dan PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Dalam satu pertemuan dengan beberapa peneraju Minda Pondok baru-baru, penulis dapat merasakan wujudnya satu kebangkitan menentang Pas dalam kalangan ulama pondok yang sudah tidak mampu dibendung lagi. Umpama tsunami ia hanya menunggu masa untuk membadai parti itu menjadi puing yang hancur berkecai.
Boleh dikatakan 99 peratus tok guru pondok berada di belakang Minda Pondok dan perkara itu terbukti apabila tiada sambutan diberikan ketika Pas menaja penubuhan satu NGO lain yang terdiri daripada kalangan ulama pondok yang menyokong mereka.
Ahli Jawatankuasa pertubuhan itu, Mohd. Zainal Abidin Awang yang juga Ketua Pondok Pulau Ular, Pengkalan Kubor, Kelantan yang diminta mengulas kebangkitan ulama pondok itu, menjelaskan pihaknya mengkritik Pas atas kesedaran diri sendiri dan ia tiada kaitan dengan UMNO.
“Kita nak lawan tidak ada jalan, tidak ada gunanya kita tubuhkan parti baharu kalau hanya untuk lebih pecahkan Melayu kerana kita akan makin lemah.
“Maka kita terima UMNO kerana kita melihat dalam Perlembagaan UMNO ada menyebut untuk menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam. Kita bukan UMNO tapi kita bersatu dengan UMNO,” katanya.
Menurutnya, antara perkara yang membangkitkan perasaan tidak puas hati tok guru pondok adalah tindakan Pas yang lebih mengutamakan parti berbanding Islam.
“Habis dipusing segalanya, takde dalil dah, takde Quran dah, ikut sedap mereka nak kata apa pun. Inilah asabiyah yang paling dahsyat apabila mereka hanya membela puak dan penyokong mereka. Tak kira dah mereka berzina ke, berkhalwat ke, mereka akan bela,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Biro Bertindak Agama Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff Al-Hafiz berkata, antara faktor lain penolakan golongan pondok itu kerana Pas telah menggadaikan akidah Islam.
“Pemimpin Pas sanggup membenarkan bukan Islam menguna kalimah Allah dalam Injil versi Melayu yang diguna pakai di gereja-gereja,” katanya.
Beliau turut tidak bersetuju dengan sikap Pas yang hanya menjadi pengikut DAP dan ini terbukti apabila ia memecat bekas Exco Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali setelah beliau mengakibatkan DAP marah kerana merampas arak yang dijual secara terbuka.
“Maknanya, DAP imam, Pas menjadi makmum. Yang jelas hari ini Pas sudah tersasar jauh daripada matlamat yang sebenar dan kalau kita duduk bersama pakatan pembangkang, masa depan agama kita akan hancur,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Pondok Geting, Abdullah Saamah yang juga Penasihat Minda Pondok berkata, antara kesilapan terbesar Pas adalah bersikap terlalu taksub untuk menjatuhkan UMNO sehingga rela melihat orang Melayu dan Islam berpecah.
“Saya tidak bersetuju dengan dasar kesamarataan pihak pembangkang yang dipersetujui Pas yang jelas bercanggah dengan al-Quran. Kita tak terima kesamarataan. Islam lebih tinggi,” katanya.
Apa yang jelas para tok guru pondok telah menyatakan pendirian mereka. Sama-samalah kita lihat adakah kebangkitan ini akan menjadi tsunami melemaskan Pas.
للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*