UMNO BN Komited Memperkasakan Muafakat Nasional – Anuuar Musa

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, penglibatan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan beberapa parti lain menaja penubuhan Perikatan Nasional (PN) adalah hak parti terbabit.

Menteri Wilayah Persekutuan itu memberitahu, BN dan UMNO kekal dengan pendirian tidak menyertai PN sebaliknya akan terus bekerjasama dengan parti yang menyokong dan selari dengan dasar perjuangan parti itu.

“UMNO kekal pendirian tak menjadi ahli parti baharu tetapi terus bekerjasama dengan parti yang menyokong perjuangan selari dengan dasar perjuangan UMNO,” ciap Annuar di Twitternya sebentar tadi.

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan tampil menjelaskan pendirian parti itu terhadap pembentukan PN.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Hal Ehwal Undang-undang) itu berkata, parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu akan menyertai PN bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, Pas merupakan antara parti penaja gabungan politik baharu yang muncul selepas perubahan politik pada hujung Februari lalu.

Beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada BN diterajui UMNO akan turut serta sebagai jawatankuasa penajanya.

Sementara itu, dalam ciapan (tweet) berasingan Annuar berkata, usaha menubuhkan sebuah parti yang bersifat gabungan memerlukan sekurang-kurangnya dua parti protem untuk tujuan pendaftaran.

“Menubuhkan parti yang bersifat gabungan memerlukan kurang-kurang dua parti protem untuk tujuan pendaftaran. Tidaklah salah untuk mendaftarnya sebagai option masa depan,” katanya.

Beliau berkata, UMNO bagaimanapun akan kekal dengan BN serta memperkasakan MN.

“UMNO kekal dengan BN serta komited memperkasakan MN sebagai landasan muafakat ummah dan penyatuan Melayu,” katanya dalam laporan Sinar Harian.

Para penyokong UMNO/BN sepatutnya tidak ‘melompat’ apabila PAS menyertai Perikatan Nasional kerana akar umbi PAS sendiri tidak menolak tindakan itu.