[Video] Pencemaran Toksid : 20 pelajar mangsa baharu

Sekurang-kurangnya 20 pelajar dari beberapa sekolah di sekitar Pasir Gudang dibawa ke Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, Pasir Gudang untuk rawatan kerana mengalami simptom sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai susulan pencemaran sisa kimia.

Tinjauan Bernama di dewan itu mendapati semua pelajar berkenaan tiba dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat, kira-kira 10.30 pagi ini.

Bagaimanapun, maklumat tepat mengenai jumlah pelajar dan sekolah terlibat belum disahkan dan pihak media kini menunggu maklumat rasmi daripada pihak bertanggungjawab.

Dewan Komuniti Taman Pasir Putih mula dibuka sejak Ahad lepas bagi memberi rawatan awal kepada orang ramai yang mengalami sesak nafas, loya atau muntah sebelum mereka yang memerlukan rawatan lanjut dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

Setakat 11 pagi ini, perkarangan dewan dibanjiri ibu bapa pelajar terlibat bagi mendapatkan maklumat tahap kesihatan terkini anak mereka dan sehingga kini kebanyakan mereka masih menunggu maklumat lanjut mengenai tahap kesihatan anak yang menerima rawatan awal di dewan berkenaan dari pihak kesihatan dan pihak berkuasa.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin, menerusi kenyataan berkata,13 sekolah di sekitar Pasir Gudang diarah tutup mulai hari ini hingga satu tarikh yang akan ditetapkan, dipercayai ekoran pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Kerajaan Negeri Johor melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri juga telah mengaktifkan jawatankuasa kerja bagi menangani kejadian pembuangan sisa itu yang bertujuan menyelaras dan memantau kejadian tumpahan bahan kimia yang berlaku.

Seorang suri rumah, Aida Abdullah, 40, berkata dia dimaklumkan anak perempuannya, Nur Alisa Alia Mohd Amir, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Scientex, Pasir Gudang mengalami sesak nafas, letih dan muntah, menerusi kumpulan WhatsApp sekolah, kira-kira 10 pagi tadi.

“Saya terus bergegas ke sekolah, namun, dimaklumkan anak saya sudah dibawa ke dewan ini. Setakat ini saya belum lagi melihat keadaan anak saya,” katanya yang tinggal di Jalan Kelisa, Taman Scientex.

Aida turut mengakui terdapat bau tidak menyenangkan dialaminya di kawasan rumah, semalam, namun, tidak menjejaskan mereka sekeluarga.

“Pagi tadi juga anak saya sihat sahaja dan pergi ke sekolah seperti biasa sehinggalah saya dimaklumkan mengenai kejadian ini,” katanya.

Lega Anak Galang, 58, dari Jalan Kijang, perumahan sama berkata dia menerima panggilan dari pihak sekolah sama memaklumkan anaknya, Naziralida, 16, turut mengalami simptom sama.

“Saya masih belum berjumpa anak saya… saya berdoa keadaannya baik,” katanya yang menerima panggilan telefon daripada pihak sekolah dan bergegas ke dewan berkenaan bersama isteri.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Empat SMK Taman Scientex, Aida Mohd Fazli, 16, yang ditemui di kawasan itu berkata dia mengalami pedih mata ketika berada di dalam kelas, pagi ini.

“Sekarang saya sudah berasa okay. Doktor yang merawat mengesahkan saya tidak mengalami sakit yang serius dan boleh pulang ke rumah untuk rehat secukupnya,” katanya. – Bernama