Wanita Tubuh Pasukan Khas?!

Wanita Barisan Nasional (BN) menubuhkan pasukan khas dari rumah ke rumah bagi memberi penerangan serta menangkis tohmahan dan fitnah pembangkang, terutama ketika pilihan raya yang sering disasar kepada suri rumah.

Pengerusi Wanita BN Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata pewujudan pasukan itu penting kerana kunjungan dari rumah ke rumah memberi kesan ketara dalam mempertingkat sokongan rakyat.
“Jentera pilihan raya Wanita BN kini berada di fasa terakhir, dan kita perlu lipatgandakan usaha bagi menangkis tohmahan dan fitnah yang dilempar pembangkang.
“Pembangkang sudah ketandusan isu dan hanya bersandarkan fitnah dan tohmahan untuk meraih sokongan rakyat. Kita mesti ingatkan pengundi supaya mengundi bukan mengikut emosi ataupun mengikut fitnah pembangkang, tetapi demi masa depan negara,” katanya kepada pemberita selepas perasmian program ‘Gelombang Biru’
Wanita BN Negeri Sabah, yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di Kompleks Sukan Likas hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Ketua Wanita Umno Sabah Datuk Armani Mahiruddin.
Terdahulu, dalam ucapannya, Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno pusat berkata pemerkasaan golongan hawa di bawah pimpinan Musa membuktikan sokongan Wanita BN kepada kepimpinan beliau amat baik sekali.
Beliau juga mengingatkan Wanita BN Sabah bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya umum, yang dijangka amat mencabar.
“Dalam politik, ia seperti maraton, semangat kita mesti berkobar-kobar di saat-saat akhir ini kerana apabila kita melihat trend pembangkang melemparkan tohmahan, fitnah dan pelbagai cerita yang karut marut dan menjadi bahan kempen mereka.
“Jadi kita wanita bersiap sedia untuk masuk rumah ke rumah untuk menangkis segala tohmahan, fitnah dan cerita yang karut-marut ini. Jentera wanita akan menangkisnya berdasarkan fakta,” katanya.
للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*