Zambry Disokong Penuh Taiko Barisan Nasional

Tiga menteri Kabinet dari Perak menolak dakwaan mereka mempunyai masalah dengan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, untuk kekal sebagai Menteri Besar Perak selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau serta Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, kini giat membantu memperkukuhkan kedudukan Barisan Nasional (BN) di negeri itu. 

Justeru katanya, semua spekulasi itu termasuk dakwaan mereka giat turun padang bagi mengganti Zambry sebagai Menteri Besar adalah tidak benar. 
“Kita beri jaminan program turun padang yang diadakan adalah untuk membantu Zambry memperkukuh usahanya, bukanlah untuk mengambilalih tempatnya.
“Beliau (Zambry) banyak memberi pembangunan kepada Perak serta rajin turun padang dan mesra rakyat,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Tanjung Piandang, dekat sini, semalam.
Pada majlis itu beliau menerima dua memorandum daripada Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kurau dan DUN Titi Serong menyatakan sokongan kepada kerajaan BN. Hadir sama, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar, Mohd Salleh Md Disa dan Penyelaras DUN Titi Serong, Abu Bakar Md Ali.
Beliau kemudian turut menerima memorandum sama daripada 28 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pejabat UMNO Bahagian Bagan Serai. Zahid yang juga Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, beliau bersama Nazri dan Husni kerap mengadakan perbincangan bersama Zambry mengenai strategi memperkukuhkan jentera BN di Perak.
“Kami sering berjumpa Zambry, spekulasi dan khabar angin mengaitkan kami mempunyai masalah adalah tidak benar, saya perlu membuat penjelasan begitu supaya tidak ada spekulasi lagi.
“Ini bukan saya seorang yang bercakap, kami telah bercakap dengan beliau (Zambry) beberapa kali dan mengadakan mesyuarat untuk memperkukuhkan jentera UMNO dan BN di Perak, tapi orang tidak tahu.
“Daripada orang bercakap, lebih baik saya menyatakan perkara ini. Jangan percaya sebarang spekulasi dan khabar angin yang tidak benar itu,” katanya.
Zahid menegaskan beliau bersama barisan Menteri Kabinet dari Perak akan berkempen habis-habisan dalam membantu jentera parti bagi memastikan BN terus kekal memerintah negeri ini.
Beliau yakin BN akan merampas kembali kerusi Parlimen Bagan Serai dan Parit Buntar serta kerusi DUN di kawasan itu pada PRU-13, berdasarkan bancian dan program turun padang dilakukan.
“Pada PRU lalu, kita (BN) kalah di Parlimen Parit Buntar dan Bagan Serai serta beberapa DUN bukan kerana kita lemah dan mereka (pembangkang) kuat, sebaliknya masalah dalaman dan perpecahan dalam parti yang tidak selesai sehingga menyebabkan apabila calon diumumkan, ramai ahli meninggalkan bilik gerakan dan parti. Saya harap masalah itu telah selesai,” katanya. – BH
للاكي براني موڠكين اكن كاله تتاڤي تيدق اكن مڠاله.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*